Gagal Lagi Di Kejohanan Dunia, Chong Wei Kini Fokus Olimpik

JAKARTA: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berjanji tidak akan berputus asa di sebalik kegagalannya merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia, di sini, sebentar tadi.

Pemain berusia 33 tahun itu yang tewas kepada juara bertahan, Chen Long 14-21, 17-21 dalam aksi final di Stadium Tertutup Istora Senayan, berkata fokus utamanya kini adalah untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

“Gelaran juara Kejohanan Dunia adalah impian saya tetapi saya gagal sekali lagi. Saya tidak akan berputus asa dan saya akan cuba sekali lagi pada Sukan Olimpik tahun depan.


“Kini, fokus saya adalah untuk mengumpul mata bagi layak ke Sukan Olimpik,” kata Chong Wei yang merekodkan gelaran naib juara Kejohanan Dunia kali keempat selepas 2011, 2013, 2014 (ditarik balik kerana kes doping) dan 2015.

Kemenangan Chen Long, 26, di Istora Senayan menyaksikan dia meraih gelaran juara kali kedua dengan kali pertama diraihnya tahun lalu di Copenhagen apabila turut menewaskan Chong Wei di pentas final.

Mengulas mengenai aksi dipamerkan Chen Long, Chong Wei mengakui pemain itu bermain sangat baik dan berjaya membaca setiap pergerakannya di atas gelanggang.

Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, Carolina Marin berjaya mempertahankan kejuaraan dimenanginya tahun lalu hasil kemenangan ke atas pemain India, Saina Nehwal 21-16, 21-19. Dalam saingan beregu beregu campuran, gandingan China, Zhang Nan-Zhao Yunlei menepati ramalan sebagai pilihan utama kejohanan dengan bergelar juara selepas menewaskan rakan senegara Liu Cheng-Bao Yixin 21-17, 21-11.

ep2p-2