Dakwaan DAP Taja GHB Satu Pembohongan , Kata Mata Sabu

SHAH ALAM – Gerakan Harapan Baru tiada masalah bergerak sendiri walaupun terpaksa berdepan masalah kewangan.

 

Pengerusinya, Mohamad Sabu berkata, sehubungan itu dakwaan bahawa NGO itu menerima dana daripada pihak tertentu termasuk DAP adalah satu pembohongan nyata.

 

“Hanya orang yang bankrap politik saja cakap begitu (Harapan Baru ditaja DAP). Ada yang tanya bagaimana Harapan Baru bergerak? Kami dulu (dalam Pas) bergerak macam mana?

 

“Kalau dulu (bergerak), ada orang  yang tolong bayar duit minyak, ada yang beri tempat tinggal. Malah, kami ada yang terpaksa keluar duit sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

 

Sebelum ini,  terdapat dakwaan mengatakan penubuhan Harapan Baru ditaja sepenuhnya oleh DAP selepas Pas memutuskan hubungan dengan parti itu pada Jun lalu.

 

Bagaimanapun, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan perkara itu kerana DAP sendiri memerlukan dana dan bersedia menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

 

Mengulas lanjut, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, situasi dihadapi pemimpin Harapan Baru untuk membangunkan gerakan itu adalah lebih sukar berbanding ketika mereka masih bersama Pas.

 

“Kami… isteri kami tahu macam mana hidup dari parti yang miskin (Pas) ke parti yang lebih miskin.

 

“Lebih teruk sekarang ini hinggakan bawah mata saya naik hitam kerana tak cukup tidur,” katanya.

 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perkembangan proses pendaftaran Harapan Baru sebagai parti politik, beliau berkata, pihaknya masih menunggu tarikh dari Pendaftar Pertubuhan (ROS).

 

“ROS masih belum beri kata putus. Sama ada cepat atau lambat, kita serahkan kepada jawatankuasa ROS.

 

“Tetapi kita sifatkan kerjasama yang diberikan oleh ROS setakat ini sangat baik,” katanya. – Sinar