Apple Lancar iPhone Baru September Ini

NEW YORK – Apple dijangka melancarkan telefon pintar iPhone generasi baharu yang mungkin dikenali sebagai iPhone 6S pada 9 September akan datang.

 

Menurut laporan BuzzFeed News, sumber yang dekat dengan Apple memberitahu, satu majlis istimewa akan diadakan pada minggu terbabit dan 9 September diyakini menjadi tarikh pilihan kerana Apple mengadakan majlis yang sama pada tahun lalu.

 

Seperti majlis musim luruh sebelum ini, Apple akan memberi fokus pada iPhone generasi baharu yang dijangka dikeluarkan ke pasaran dengan ciri paparan teknologi Force Touch serta mempunyai kemas kini dari segi spesifikasi, cip pemprosesan dan juga kamera.

 

Sumber turut memberitahu, Apple juga dijangka mungkin mengumumkan iPad baharu yang bersaiz sekitar 12.9 inci.

 

Dalam pada itu, beberapa sumber lain turut memberitahu majlis terbabit akan juga memperkenalkan Televisyen Apple baharu dikatakan mungkin mengintegrasikan sokongan Siri (kawalan suara) dan AppStore.

 

Walau bagaimanapun, jurucakap Apple, Trudy Muller enggan mengulas mengenai acara musim luruh syarikat itu. – UTUSAN



This entry was posted in Gajet, Terkini. Bookmark the permalink.