Ahmad Maslan jadi senjata BN menang PRU14

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menerusi entri di laman blog miliknya berkongsi strategi untuk mengukuhkan Umno/Barisan Nasional (BN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

Ahmad Maslan berkata, BN perlu menggunakan strategi ‘KBSMM’ iaitu ziarah dan bantu ketika ‘Kenduri, Bersalin, Sakit, Malapetaka dan Mati’ untuk memenangi semula hati rakyat.

Selain itu, BN juga perlu menggunakan strategi ‘SMPPSS’ iaitu berdoa dan berusaha ‘Siang, Malam, Pagi, Petang, Subuh dan Senja’.

Jelasnya, dengan menggunakan strategi itu, BN akan terus kekal mentadbir kerajaan pada pilihan raya akan datang.

“Dan kita boleh guna apa juga formula untuk memenangi jiwa dan minda rakyat,” tulis Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan juga menggesa pemimpin BN supaya sentiasa berfikiran positif dan menambat hati rakyat dengan mendengar luahan hati rakyat di kawasan masing-masing sebelum pilihan raya akan datang.

Tambahnya, beliau tidak mahu melihati pemimpin BN mengaku kalah selagi hari pengundian tidak tiba kerana itu merupakan pantang datuk neneknya sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat.

“Selesaikan masalah rakyat dan jangan malas untuk bertemu dengan rakyat.

“Dalam peperangan politik kita perlu memberikan harapan yang positif. Jika kita yang menjadi Jeneral Perang sentiasa menyebut negatif, contohnya dalam perang ini kita akan kalah.

“Maka segala askar dan pejuang tidak akan ada semangat untuk menang, tidak akan berjuang habis-habisan. Pantang datuk nenek untuk mengaku kalah sebelum masuk ke gelanggang,” tulisnya.-Utaranews.com-

ep2p-5small