Acer Melancarkan Aspire R11 Menggunakan Windows 10 Di Malaysia – Peranti Hibrid Yang Boleh Diputar 360-darjah

Acer Malaysia sebelum ini pernah melancarkan Aspire R13 dan juga Aspire R14. Hari ini, mereka menambah satu lagi peranti dibawah keluarga Aspire R, iaitu Acer Aspire R11. Menariknya, ia turut hadir dengan sistem operasi Windows 10 secara terbina – sekaligus menjadi komputer riba terawal berasaskan Windows 10 yang dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

Acer Aspire R11 Malaysia

Acer Aspire R11 hadir dengan rekaan peranti yang boleh diputarkan skrin 360-darjah, menjadikan ia boleh digunakan bukan sahaja sebagai komputer riba, tetapi juga sebagai tablet. 4 mod khas yang boleh digunakan adalah termasuk sebagai mod komputer riba, tablet, Display Mode (ketika menikmati media), dan juga akhir sekali Tent Mode (ketika digunakan pada ruangan yang terhad). Acer mengatakan pengguna turut boleh membuat kustomasi tetapan paparan gambar latar mahupun susunan ikon mengikut mod, dan ia berubah mengikut gaya paparan peranti berkenaan.

Acer Aspire R11

Acer Aspire R11 hadir dengan skrin bersaiz 11.6-inci, menawarkan input berasaskan sentuhan, serta menawarkan masa penggunaan bateri sehingga 8-jam lamanya. Pihak Acer turut melengkapkan Aspire R11 ini dengan teknologi audio Acer True Harmony yang menawarkan kualiti audio baik ketika pengguna menikmati media. Acer mengatakan Aspire R11 ini turut hadir dengan Skype Certification, dimana ia diuji dari segi audio dan mirofon dalam memastikan ia menawarkan pengalaman penggunaan Skype yang baik menggunakannya.

Dengan menggunakan Windows 10, ia turut hadir dengan pelbagai fungsi baru termasuk seperti pelayar web Edge, Continuum, sokongan Start Menu, sokongan menjalankan aplikasi Modern pada desktop, dan pelbagai fungsi baru lain.

Dari segi spesifikasi, Acer Aspire R11 menggunakan cip pemprosesan Intel Pentium N3700, dilengkapi Intel HD Graphics, dan menyertakan ruangan USB 3.0 dan USB 2.0, selain sokongan HDMI, dan kebolehan membaca kad-SD.

Acer Aspire R11

Untuk pasaran Malaysia, Acer Malaysia membawakan Aspire R11 dengan menggunakan memori 4GB RAM dan juga ruangan storan 500GB. Di Malaysia, Acer Aspire R11 ditawarkan pada harga RM1499 dan boleh didapati daripada para pengedar Acer seluruh negara bermula hari ini.

Selain daripada Acer Aspire R11, Acer Malaysia turut mengatakan mereka akan menawarkan pelbagai produk lain dengan Windows 10 dalam masa terdekat ini di Malaysia.




ep2p-5small