Yazid Search Terus Berharap Ada Insan Mulia Derma Buah Pinggang

KUALA LUMPUR – Enam tahun menanti, pemain dram Search, Yazid Ahmad masih berharap ada insan mulia mendermakan buah pinggang kepadanya.

 

Yazid,53, kini kembali ‘berumah’ di hospital selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak seminggu lalu.

 

Katanya, dia ditahan di wad selepas doktor mengesan ada keracunan di jantungnya

 

“Doktor memberitahu saya, penerima buah pinggang, keadaan jantungnya mestilah 60 peratus dalam keadaan sihat. Saya ada masalah jantung, justeru sekarang tidak perlu melakukan proses transplantasi ginjal (pemindahan buah pinggang).

 

“Sekarang saya perlu fokus menjalani rawatan sehingga jantung saya stabil dan seterusnya kembali pulih sebelum menjalani pemindahan buah pinggang (jika dapat penderma),” katanya selepas menerima kunjungan bekas Pengurus Besar syarikat rakaman BMG, Datuk Aziz Bakar , di HKL, hari ini.

 

Menurutnya, dia juga masih menunggu keputusan doktor sama ada membenarkannya pulang ke rumah untuk menyambut Aidilfitri atau terus berada di hospital.

 

“Semua orang seronok sambut raya dan kalau saya tak dapat sama-sama buat begini, terasa seperti satu kejutan pula,” katanya. – HMetro



This entry was posted in Hiburan, Terkini. Bookmark the permalink.

ep2p-5small