Yana Samsudin Dan Suami Kena Marah, Ketika Cuci Tandas Di R&R

Nama Yana Samsudin dan suaminya, Fadzil Zahari menjadi bualan di laman sosial apabila pelakon filem Adnan Sempit itu bertindak membersihkan tandas di sebuah stesen minyak kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak, Perak baru-baru ini.

 

Berita tersebut menjadi viral selepas salah seorang saksi kejadian memuat naik status di Facebook memuji tindakan Yana membersihkan tandas yang terlalu kotor untuk digunakan orang ramai.

 

Sungguhpun begitu, Yana dan Fadzil tidak menyangka tindakan ikhlas mereka meraih perhatian.

 

“Kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 11 malam pada raya ketiga ketika kami dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur. Sewaktu berhenti untuk ke tandas, saya terkejut melihat keadaan yang terlalu kotor.

 

“Apa yang mengecewakan, barisan agak panjang tetapi tiada bekalan air dan tiada pekerja yang membersihkan tandas tersebut.

 

“Apabila saya dan Yana cuba membersihkan tandas dengan menarik hos air dari luar, kami telah dimarahi oleh pekerja stesen minyak berkenaan,” kata Fadzil.

 

Tambah Fadzil, mereka tidak pernah cuba menunjuk-nunjuk dalam melakukan kebajikan. Sebaliknya, tindakan tersebut dilakukan seikhlas hati untuk memudahkan orang ramai menggunakan tandas berkenaan.

 

“Apa yang kami lakukan bukan untuk menunjuk-nunjuk, jauh sekali cuba meraih perhatian masyarakat. Saya mahupun Yana tidak memuat naik sebarang gambar ketika mencuci tandas.

 

“Cuma tidak menyangka tindakan kami diceritakan oleh seorang pemilik akaun Facebook dan akhirnya menjadi viral,” tutur Fadzil.

ep2p-2