Warga Emas Antara Yang Dicekup Bermain judi

KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas antara lapan suspek yang dicekup ketika leka bermain judi daun terup, di dalam sebuah rumah di Taman Semarak, Gong Badak, di sini, Selasa lalu.

 

Dalam serbuan lebih kurang jam 1.20 petang, warga emas berusia 72 tahun itu bukan sahaja tidak menghormati Ramadan dengan melakukan aktiviti tidak sihat, malah lebih menyedihkan dia bersama tujuh lagi rakannya dipercayai turut tidak berpuasa.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, serbuan dijalankan pihaknya dengan kerjasama Penguat kuasa Syariah Jabatan Agama Islam Terengganu selepas menerima maklumat awam berhubung sekumpulan lelaki berkumpul di dalam sebuah rumah untuk bermain judi.

 

Selain itu, orang awam turut membuat aduan kumpulan lelaki berusia antara 35 tahun hingga 72 tahun itu turut bertindak melampau tidak menghormati Ramadan apabila menjadikan kediaman berkenaan sebagai tempat menjamu selera dipercayai untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

 

“Susulan itulah, kami membuat serbuan di lokasi dimaklumkan dengan menjalankan pemantauan lebih rapi bagi memastikan maklumat disalurkan adalah benar.

 

“Setelah beberapa minit pemeriksaan dijalankan, kami dapati sememangnya terdapat sekumpulan lelaki yang dimaksudkan sedang berkumpul di ruang tamu rumah sambil bermain judi daun terup dengan pertaruhan sejumlah wang,” katanya ketika ditemui, semalam.

 

Jelas Wan Abd Aziz, mungkin kerana terlalu leka bermain judi, mereka langsung tidak menyedari kehadiran polis bersama anggota Penguat kuasa Syariah Jabatan Agama Islam di lokasi.

 

“Ketika serbuan dibuat keadaan menjadi agak kelam kabut apabila mereka cuba hendak melarikan diri mengelak daripada dicekup.

 

“Bagaimanapun, usaha mereka gagal kerana keseluruhan kawasan telahpun dikepung sebelum serbuan dijalankan lagi,” katanya.

 

Semasa serbuan dijalankan, pihaknya yakin kumpulan tersebut tidak berpuasa kerana turut menjumpai beberapa jenis makanan ringan dan buah-buahan berhampiran mereka.

 

Selain itu, hasil serbuan turut berjaya merampas sejumlah daun terup berserta wang tunai RM290 dipercayai digunakan untuk pertaruhan.

 

Kesemua mereka kini ditahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – Sinar

ep2p-5small