KOTA KINABALU: Seorang penganggur ditahan selepas sebuah video menunjukkan lelaki itu memukul isterinya di bandaraya ini menjadi viral.

Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan dalam tempoh kurang daripada 12 jam selepas insiden tersebut berlaku kira-kira pukul 9 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, mangsa berusia 16 tahun yang juga pemegang kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13) membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul suaminya berkaitan masalah keluarga.

“Lelaki itu ditahan di Sinsuran dekat rumah mereka tinggal manakala mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Pasangan tersebut mempunyai anak lelaki berusia 10 bulan.

Video berdurasi 90 saat itu memaparkan seorang lelaki meluru keluar dari kereta dan menyerang seorang wanita di tempat letak kereta.

Wanita berkenaan dilihat berada di luar pintu kereta penumpang sebelah kiri, sambil sebelah tangannya dilihat sedang bergelut dengan seorang lelaki yang berada di dalam kereta Viva.

Tidak lama kemudian lelaki tersebut keluar dari arah tingkap dan membelasah wanita berkenaan dengan menendang, memukul dan menghempasnya ke jalan raya.

Lelaki itu turut merampas satu objek dipercayai pisau dari tangan wanita berkenaan.

Dia turut dirakam mengambil beg sebelum masuk ke dalam kereta dan melarikan diri.

Beberapa orang yang melihat kejadian tersebut kemudiannya cuba membantu wanita berkenaan yang meraung dan menangis.

Wanita Ditinggalkan Di Tepi Jalan Selepas… by mynewshub