KELAB bola sepak Sepanyol, Real Madrid akan menghabiskan masa selama 11 hari di Melbourne, Australia bagi menghadapi cabaran Australian International Champions Cup bermula semalam.

Yang menariknya, pasukan bola sepak terkemuka dunia ini menggunakan pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa mereka dari Lapangan Terbang Adolfo Suarez Madrid-Barajas transit sebentar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengisi minyak pesawat Airbus A380 sebelum meneruskan penerbangan ke Melbourne.

Keyakinan Real Madrid menggunakan perkhidmatan MAS dijangka dapat meningkatkan kembali imej syarikat penerbangan negara yang terjejas teruk sejak kehilangan pesawat MH370 dan nahas MH17 tahun lalu.

Pasukan yang dibarisi ramai pemain bintang antaranya Christiano Ronaldo, Sergio Ramos, Pepe, Gareth Bale dan Karim Benzema itu mendapat tajaan penerbangan dari syarikat penerbangan Emirates sehingga 2018.

Sebagai rakyat Malaysia tentunya kita berbangga apabila orang luar terus menggunakan perkhidmatan MAS walaupun dihimpit pelbagai masalah sejak kebelakangan ini. – MYNEWSHUB.CC