VIDEO Permainan Cantik, Harimau Muda C Teruskan Rentak Kemenangan

Skuad Harimau Muda C kendalian jurulatih Hassan Sazali Mohd Waras meneruskan rentak cemerlang pada aksi ketujuh siri perlawanan di Slovakia setelah menewaskan Inter Dubravka B-19 2-0, semalam.

Muhammad Jafri Firdaus Chew muncul wira apabila meledak dua gol pada minit ke-57 dan minit ke-63 (penalti) bagi membolehkan skuad B-19 negara itu meraih kemenangan keenam berturut-turut selepas hanya tewas pada aksi sulung di Slovakia.

Penyerang berusia 18 tahun itu juga merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan enam gol setakat ini daripada tiga perlawanan dia diturunkan.

Harimau Muda C yang telah berjaya merekodkan enam kemenangan dan satu kekalahan daripada tujuh aksi perlawanan, bakal menentang FKM Nove Zamky B-19, Selasa ini, 7 Julai (11 malam, waktu Malaysia).

KOMEN JURULATIH HARIMAU MUDA C, HASSAN SAZALI MOHD WARAS

“Tahniah kepada semua pemain dan staf kerana terus berusaha keras sepanjang berada di sini walaupun sedang mengharungi detik-detik berpuasa di bulan Ramadhan, ianya tidak menjadi halangan kepada mereka untuk meneruskan misi pasukan.

“Pasukan bermain pada jam 10 pagi di sini di atas faktor cuaca yang dijangka mencapai tahap kepanasan yang melampau pada sebelah petangnya dan sudah pasti ianya menjadi satu kelebihan pada pasukan Harimau Muda C sendiri.

“Pada perlawanan hari ni saya menurunkan pemain yang berbeza dalam senarai kesebelasan utama, kerana seperti yang pernah saya katakan kita menghadapi perlawanan yang agak padat pada minggu ini dan saya harus bijak untuk merencanakan strategi dan juga penggiliran pemain yang ada dalam pasukan ini.

“Jafri Chew meneruskan sentuhan jaringannya kepada jumlah enam gol daripada tiga perlawanan yang diharunginya. Pada perlawanan hari ni, beliau telah menjaringkan kedua-dua gol tersebut.

“Apa yang menarik dan dikenal pasti dari perlawanan ini juga, gandingan beliau bersama Danial Ashraf amat memberi kesan kepada pasukan lawan bagi mengekang hantaran-hantaran dan juga larian mereka di barisan serangan.”

Berikut video gerakan kombinasi hantaran pendek menarik yang disudahkan oleh Muhammad Jafri untuk menyumbat gol pertama perlawanan.

– FAM

ep2p-5small