VIDEO Kim Swee Bengang, Kesilapan bodoh punca kekalahan Malaysia

PEMAIN Malaysia, A. Thamil Arasu (tengah) mengasak pemain Brazil GWANGJU – Pengendali skuad negara Datuk Ong Kim Swee berang dan menyifatkan kekalahan yang menimpa Malaysia kepada Brazil adalah berpunca daripada kesilapan bodoh yang dilakukan pemain.

Malaysia tewas tipis 1-2 kepada Brazil dalam perlawanan pertama Kumpulan C acara bola sepak Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 di Stadium Gochang Public, di sini semalam.

Kim Swee ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, dua kesilapan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh pemain yang sama telah menyebabkan peranca­ngan yang disusun tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kesilapan bodoh ataupun ke­salahan yang dilakukan pemain amat mengecewakan.

“Dua gol Brazil dihasilkan menerusi sepakan bebas dan penalti yang tidak sepatutnya kita beri de­ngan begitu mudah kepada mereka,” katanya dalam nada kecewa.

Skuad bimbingan Kim Swee itu hanya mampu bertahan selama 22 minit apabila gawang Malaysia yang dikawal oleh Mohd. Farhan Abu Bakar dibolosi menerusi sepakan bebas pemain tengah Ricardo Nascimento hasil kesilapan bek tengah Annas Rahmat.


Pemain yang beraksi bersama Harimau Muda B itu sekali lagi me­lakukan kecuaian sama dan kali ini dia menjatuhkan Jose Leao dalam kotak penalti.

Pengadil dari Kanada, Drew Thomas Fischer tidak mempunyai pilihan melainkan menghadiahkan sepakan penalti kepada Brazil yang disempurnakan oleh pemain pertahanan Thaciano Da Silva pada minit ke-34 untuk Brazil mendahului selesa 2-0.

Malaysia berjaya merapatkan jurang gol apabila giliran skuad negara pula dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-77 yang diambil oleh penyerang, Shahrul Azwari Ibrahim.

Kim Swee memberitahu, anak-anak buahnya perlu bangkit segera dalam perlawanan berikut menentang Iran pada Ahad ini setelah kemenangan yang diburu semalam menemui kegagalan.

“Sikap tak mahu belajar dan ambil mudah menjadi punca kepada kesilapan demi kesilapan yang sama dilakukan oleh pemain berkenaan,” ujarnya.

Katanya lagi, untuk perlawanan menentang Iran, para pemain perlu mempamerkan aksi terbaik dari segi taktikal jika tidak mahu terus ditimpa kekalahan. – UTUSAN

Highlight

ep2p-5small