Singapura: Seorang pejalan yang tersepit di bawah tayar lori bernasib baik orang ramai segera datang membantu untuk menyelamatkannya dalam kejadian di sini, semalam.

Rakaman video oleh Suan Wang Foo yang dimuat naik di Facebook menunjukkan 11 orang pada mulanya cuba mengangkat tepi lori untuk mengalihkan lelaki itu.

Lebih ramai datang menolong sehingga 30 orang berjaya menolak lori itu sehingga tayar terangkat dan mangsa dapat ditarik keluar.

Foo yang berada di dalam pejabatnya memberitahu Channel News Asia dia tiba-tiba terdengar jeritan kuat, kira-kira 11.45 pagi semalam.


“Saya melihat ke luar dan ternampak lori di tengah jalan serta beberapa orang melambai-lambai kepada pemandu meminta dia mengalihkan lori itu. “Bagaimanapun, pemandu hanya keluar dari lori dalam keadaan terpinga-pinga. “Tiba-tiba, orang ramai datang dan cuba mengangkat lori itu untuk mengeluarkan mangsa.

Mereka datang tanpa disuruh,” katanya. Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), mangsa berusia 35 tahun itu yang masih sedar hanya patah kaki dan dihantar ke Hospital Tan Tock Seng untuk rawatan lanjut. Sementara itu, pemandu lori berusia 25 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Accident outside my office … Man screaming and then all walk of life came and help … Well done Singapore .. #sg50#singapore #help #accident

Posted by Suan Wang on Tuesday, July 21, 2015