Ulama PAS Kelantan mahu pengkhianat parti dikenakan hukuman

Pas Kelantan hari ini mendesak Pas Pusat menghukum pemimpin serta ahli Pas yang merancang menubuhkan parti Gerakan Harapan Baharu (GHB).

Menurut Pas Kelantan, mereka yang merancang dan menyertai GHB perlu dikenakan tindakan tatatertib ekoran mengkhianat parti selepas gagal memperolehi jawatan dalam parti.

Selain itu, tindakan mereka untuk menubuhkan parti baru itu dengan memburuk-buruk Pas juga bakal memberi kesan kepada parti Islam itu.

“Ia termasuklah menyampaikan ceramah di hadapan khalayak dan mempertikaikan Pas secara terbuka di dalam majlis ceramah tersebut.

“Kami sepenuhnya berpendirian bahawa tindakan tatatertib wajib diambil bagi menjaga keutuhan dan kestabilan parti dari diganggu gugat pihak yang mendakwa sebagai penyokong-penyokong Gerakan Harapan Baru (GHB) ini,” kata mereka.

Desakan tersebut dinyatakan oleh Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Datuk Hassan Mahmood, Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusof, Ketua Dewan Pemuda, Ahmad Fadli Shaari dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas, Lim Guan Seng.

Mereka memaklumkan desakan tersebut dibuat bagi menyatakan sokongan terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kerajaan negeri Kelantan dibawah kepimpinan Pas.

“Ia sebagai satu gambaran kesepakatan yang dicapai ekoran serangan berterusan individu-individu yang dikaitkan dengan GHB terhadap kepimpinan parti dan kerajaan,”  katanya.-Utaranews.com-

ep2p-5small