Tuan Rumah Pukul Perompak, Cubaan Merompak Gagal

Kuala Lumpur – Empat lelaki bersenjatakan parang terpaksa berputih mata dan melarikan diri, apabila gagal dalam cubaan merompak di sebuah rumah di Jalan Ipoh, kelmarin.

 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang Jumaat lalu, di sebuah rumah di Jalan Ipoh.

 

Menurutnya, salah seorang suspek pada awalnya mengacukan sebilah parang ke leher wanita berusia 49 tahun yang merupakan tuan rumah, sebelum memaksanya menyerahkan semua wang.

 

“Manakala tiga lelaki berbangsa Melayu dan Cina naik ke tingkat atas dan pengadu dengar mereka berlawan dengan suami dan dua anak lelaki wanita itu.

 

“Wanita itu kemudiannya mendapati mereka memukul anak lelakinya menggunakan parang, sebelum sebilah lagi parang jatuh ke lantai.

 

“Suaminya memukul kedua-dua lelaki menggunakan parang dan salah seorang lelaki jatuh ke bawah tangga,” katanya.

 

Bagaimanapun, jelasnya, suami dan anak wanita itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan.

 

Namun, kesemua lelaki itu melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Toyota Estima berwarna putih, meskipun kesemua barangan mangsa tidak berjaya dilarikan perompak.

 

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, keempat-empat penjenayah berkenaan disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu yang belum didaftarkan untuk tujuan menyamun.

 

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.