Tony Pua tak layak jadi penyiasat dalam isu 1MDB..

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua diminta supaya mengecualikan diri daripada terlibat dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional berkata, langkah itu bagi memastikan kredibiliti PAC tidak dipersoal oleh rakyat berikutan timbulnya dakwaan pertemuan Ahli Parlimen DAP itu dengan bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo di Singapura.

“Saya awal-awal lagi telah mencadangkan kepada Tony Pua untuk kecualikan dirinya…saya guna bahasa yang berlapik, saya nampak macam dia tahu begitu banyak tentang soal dan masalah 1MDB.”

“Buat masa ini belum ada pengesahan tentang Tony Pua adalah pembangkang yang jumpa dengan Justo,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka  Aidilfitri Parlimen di Kuala Lumpur, semalam.

Shahrir berkata demikian demikian ketika diminta pemberita untuk mengulas kedudukan Pua dalam PAC ekoran dakwaan yang mengaitkannya dalam pertemuan dengan Justo.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menjelaskan bahawa dakwaan terhadap Pua itu melibatkan integriti PAC sebagai jawatankuasa penting dalam Parlimen yang diberi kedudukan istimewa dalam Perlembagaan.

Seperti yang umum ketahui, dakwaan sebelum ini berhubung cubaan untuk menjatuhkan kerajaan adalah dengan cara mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara dan menjejaskan keselamatan nasional.

Malah, laporan turut menyebut bahawa pemimpin pembangkang telah mengadakan pertemuan dengan Justo untuk membeli maklumat daripadanya bagi memburukkan imej kerajaan Malaysia.

Memetik kenyataan bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi pada Isnin lepas memberitahu akhbar The Star bahawa beliau telah berjumpa Justo yang mengakui menemui beberapa pemimpin pembangkang yang ingin membeli maklumat untuk memburukkan kerajaan berkaitan 1MDB, di London dua atau tiga kali pada 2012 dan 2013.

Melihat kenyataan itu, Shahrir juga berkata, sekiranya benar pertemuan di antara Pua dan Justo berlaku, beliau perlu mengakuinya.

“Dia pun tak nak cakap sama ada dia ada jumpa Justo atau tidak, padahal  kalau dah pergi jumpa, cakap la dah pergi jumpa,” katanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sikap agresif Pua yang lantang dalam menyampaikan maklumat mengenai 1MDB hasil siasatan PAC dilihat telah mengganggu siasatan telus yang dijalankan sebelum ini.

“Sebagai orang dalam PAC, anda perlu tegas, perlu menganalisis sesuatu perkara sebelum diceritakan kepada orang.”

“Memang dia tidak layak berada dalam PAC, hari-hari menimbulkan masalah untuk kepentingan politik. Kalau memang kita rasa ada salah (isu 1MDB), kita siasat betul-betul, jangan suka buat huru-hara,” katanya.

Tony Pua dilihat tidak layak menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana didapati kerap melemparkan kritikan terhadap syarikat berkenaan.

Fungsi utama PAC adalah untuk meneliti laporan Ketua Audit Negara bagi memastikan tiada kaitan dengan mana-mana pihak tetapi kini isu 1MDB dijadikan sebagai bahan politik sehingga dikritik oleh pembangkang dan pihak luar.– Utaranews.com

ep2p-2