TMJ Seru Bangsa Johor Hati-Hati Dengan Manusia Bermuka-Muka

Kuala Lumpur – Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyeru rakyat negeri itu bersatu mempertahankan kedaulatan, hak mutlak dan kesejahteraan negeri.

 

Dalam kenyataan disiarkan di Facebook, Tunku Ismail berkata, perkara paling berbahaya dan menakutkan ialah apabila ada manusia sanggup bermuka-muka “demi mengejar kuasa dan kepentingan peribadi”.

 

Justeru, katanya, rakyat Johor mesti dididik supaya tidak menjadi mangsa permainan politik dari mana-mana aliran.

 

“Bahasa politik diolah supaya perkara dusta kedengaran seakan benar, dan perkata terkutuk seperti membunuh boleh kelihatan terpuji,” katanya.

 

Justeru bagi mengelak ia berlaku, Tunku Ismail berkata, beliau sering mengeluarkan kenyataan dan mutiara kata dari semasa ke semasa.

 

Katanya, ia bukan bertujuan untuk menimbulkan ketegangan sebaliknya mendidik rakyat Johor.

 

“Rakyat harus bijak menilainya. Johor tidak boleh dibenarkan terperangkap dalam kekusutan dan mainan politik.

 

“Tanggungjawab saya sebagai Tunku Mahkota Johor adalah untuk memastikan kedaulatan negeri dan Bangsa Johor tidak dimanipulasi oleh kepentingan dan cita-cita politik orang lain,” katanya.

ep2p-2