Tiada Tekanan Ketuai Liverpool – Jordan Henderson

Subang Jaya – Kapten baru Liverpool, Jordan Henderson menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang tekanan menggalas peranan yang sebelum ini dipikul Steven Gerrard bagi tempoh hampir sedekad.

 

Menurut beliau, Gerrard yang kini telah menyertai pasukan Los Angeles Galaxy di Amerika Syarikat telah banyak membantunya untuk bersiap sedia menggantinya mengetuai pasukan.

 

“Tugas terbesar sebagai kapten adalah untuk memastikan pasukan diberikan keutamaan dan juga persekitaran dalam skuad baik dan sempurna.

 

“Gerrard adalah ketua pasukan yang hebat tetapi kami perlu bergerak ke hadapan dan saya akan terus melakukan yang terbaik untuk pasukan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, pembelian terbaru Liverpool, James Milner memberitahu beliau akan melakukan yang terbaik bagi memastikan legasi nombor 7 yang merupakan nombor ikonik diteruskan.

 

Jersi nombor 7 sebelum ini telah disarung oleh beberapa pemain legenda Liverpool iaitu Kevin Keegan dan Kenny Dalglish serta yang terbaru iaitu Luis Suarez.

 

“Ramai pemain bertaraf dunia telah bermain di Liverpool dan saya akan cuba membanggakan jersi nombor 7.

 

“Pramusim adalah sangat penting untuk meluangkan masa bersama-sama pemain yang lain yang mana ia membolehkan saya mengenali mereka dengan lebih rapat lagi,” ujarnya.



This entry was posted in Sukan, Terkini and tagged James Milner, Jordan Henderson, Liverpool, Steven Gerrard. Bookmark the permalink.