Sumpah Bai’ah Cerai Isteri Berjaya Pastikan Wakil Rakyat PAS Setia, Kata Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan sumpah bai’ah yang dilafazkan wakil rakyat di Kelantan diguna pakai atas kehendak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan tujuan memperkukuhkan pentadbiran negeri.

 

Jelas beliau, Majlis Syura Ulama telah menetapkan lafaz bai’ah yang standard untuk diguna pakai namun ia terpulang kepada PAS negeri sekranya mahu membuat penambahan.

 

“Bagi Syura ia telah menyusun bai’ah yang setaralah semua negeri, Kelantan ini atas kehendak Allahyarham Mursyidul Am sendiri di mana beliau minta Kelantan ditambah supaya memperkukuhkan.

 

“Sebab isunya Kelantan ialah kerajaan negeri yang memerintah dan mesti diperkukuhakn dengan bai’ah tersebut,” katanya kepada Antarapos.

 

Malahan ujar Tuan Ibrahim, sumpah bai’ah talak tiga yang dilafazkan di Kelantan memperlihatkan kesetiaan yang tinggi kepada tanggumgjawab berkenaan.

 

“Cuma bagi saya bai’ah ini walaupun ada perkara sedemikian keluar bahawa jatuh talak dengan isteri tapi realitinya seorang pun tidak terlibat kes ini dan seorang pun tak sertai parti lain.

 

“Maknanya kita meletakkan prinsip kedudukan seorang isteri itu besar yang mana dia mesti menjaga dan semua suami mesti sayang pada isteri dan juga jemaah,” katanya.

 

Beliau mengulas isu sumpah bai’ah talak tiga oleh wakil rakyat PAS Kelantan yang semakin hangat diperkatakan selepas dikaitkan dengan talak tiga terhadap isteri masing-masing sekiranya meninggalkan parti.

 

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengesahkan adanya sumpah bai’ah talak tiga yang perlu dilafazkan wakil rakyat di negeri itu jika meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.

 

Difahamkan mekanisme yang terkandung dalam lafaz bai’ah yang dibuat wakil rakyat PAS di Kelantan sejak 2004.

 

Tuan Ibrahim menambah sesiapa yang melafazkan bai’ah itu sudah tentu akan membuat pertimbangan yang serius kerana ia boleh memberi kesan kepada diri serta institusi keluarga.

 

“Jadi bila dia bai’ah di Kelantan itu atas kehendak Mursyidul Am yang minta ditambah atas faktor negeri yang menang dan ketika itu mungkin ada risiko.

 

“Sebab kita lihat walaupun Kelantan tinggal satu kerusi ia tak tumbang, tiada seorang wakil rakyat PAS yang lompat parti,” katanya. – AntaraPos