Sumpah Bai'ah : Asri dakwa pemimpin PAS seleweng agama..

Sikap segelintir pengamal politik yang sanggup menggunakan hukum-hakam bagi mencapai kepentingan peribadi dan politik mereka sehingga menggadaikan agama dengan alasan bahawa agama serta politik adalah selari perlu ditegah sebelum melarat kepada perkara lebih buruk.

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pengamal politik terbabit dilihat tidak memahami konsep pertalian agama dan politik menyebabkan ia dilihat semakin meruncing sejak terbongkarnya isu perjanjian dalaman di dalam parti politik tertentu yang memanipulasi agama bagi mencapai kejayaan dalam politik mereka.

Menurutnya, tindakan ahli politik diminta mengungkapkan lafaz perjanjian bahawa isteri mereka akan tercerai dengan sendirinya jika keluar daripada parti berkenaan dan perbuatan seumpamanya ditegah dalam Islam kerana secara tidak langsung mempersendakan hukum talak yang juga satu daripada sistem dalam syariat kekeluargaan Islam.

Katanya, walaupun talak dibenarkan dalam Islam untuk pasangan suami isteri berpisah atas sebab tertentu, namun menggunakan talak sebagai satu daripada polisi politik bagi mengelak ahli parti beralih arah daripada perjuangan mereka disifatkan sebagai tindakan yang menyeleweng. – HM

ep2p-5small