Sahut Panggilan FAM Tanpa Alasan, Pemain Harus Hormat Tugas Negara

harimau malaya dollah sallehjpgKUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin membidas pemain dan pasukan yang enggan menyahut panggilan skuad kebangsaan kerana tidak menghormati tugas nasional.

Khairy menegaskan, adalah tidak wajar pasukan menghalang pemain mereka daripada menyertai skuad kebangsaan atas alasan mengharu­ngi jadual perlawanan yang padat.

“(Perkara) ini lebih kepada pe­ngurusan FAM (Persatuan Bola­sepak Malaysia) dan mungkin ada pasukan yang menganggap bahawa perlawanan (dengan Liverpool) itu tak penting dan sebagainya.

“Tetapi, kalau sudah dibuat satu pengecualian untuk perlawanan menentang Liverpool, sedangkan mereka menganggap perlawanan itu tak penting atau bukan aksi antarabangsa, maka tiada hormat lagi kepada pasukan kebangsaan walaupun ia Pilihan Malaysia.

“Tetapi, penganjuran ini adalah dari FAM dan yang memanggil adalah jurulatih kebangsaan (Dollah Salleh). Walaupun tidak suka de­ngan penjadualan dan sebagainya, tetapi apabila dipanggil oleh skuad kebangsaan, (anda) mestilah menghormatinya.

“Saya rasa perkara ini tidak patut berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak litar untuk perlumbaan Grand Prix KL City di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Kelmarin, ketua pasukan Pahang, Razman Roslan berura-ura menarik diri daripada menyertai skuad Pilihan Malaysia menentang kelab dari Liga Perdana Inggeris itu dalam perlawanan persahabatan yang akan berlangsung di Stadium Nasional.

Razman, bagaimanapun berkata semalam, dia tetap akan menyertai kem latihan Pilihan Malaysia jika Dollah tetap memanggilnya.

Selain pertahanan Tok Gajah itu, Selangor dan Pahang juga memberi bayangan akan menyekat pemain mereka daripada terlibat dalam perlawanan persahabatan itu.

Selangor masih mempertimbangkan sama ada mahu membenarkan penyerang Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd. Afiq Azmi serta pertahanan Robert Cornthwaite menyertai skuad Dollah manakala Pahang enggan melepaskan Dickson Nwakaeme.

Sementara itu bekas pemain dan pengkritik bola sepak Khalid Ali berpendapat setiap pemain yang dipanggil untuk menggalas tanggungjawab mewakili negara perlu hadir menjalani latihan tanpa sebarang alasan.

Jelasnya, sebagai pemain bola sepak profesional mereka sudah sedia maklum bahawa setiap panggilan menjalani latihan skuad negara perlu dipenuhi.

“Sebagai pemain bola sepak profesional mereka perlu patuh kepada panggilan daripada skuad negara. Mereka perlu melaporkan diri untuk menjalani sesi latihan dan terpulang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan selanjutnya (memilih mereka atau tidak),” kata­nya.

Bagaimanapun, Khalid berkata dia memahami pera­saan ketua pasukan Pahang, Mohd. Razman Roslan yang meminta untuk menarik diri daripada menjalani sesi latihan bersama skuad Pilihan Malaysia menjelang perlawanan menentang Liverpool pada 24 Julai ini.

“Saya fikir tindakan Razman itu betul sebab dia pertahanan terbaik pada tahun lalu tetapi namanya tidak tersenarai untuk ke kejohanan Piala AFF 2014. Kenapa dia tidak terpilih pada waktu itu sedangkan dia pertahanan terbaik.

“Sebagai seorang manusia mesti dia mahu tarik diri sebab hatinya terguris dan saya tidak menyalahkan dia sepenuhnya dalam hal ini,” kata­nya.

Khalid juga meluah­kan rasa hairannya ke­rana tiada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dipanggil untuk menyertai Pilihan Malaysia, kecuali pemain tengah Mohd. Safiq Rahim dan penyerang, Mohd. Amri Yahyah yang diletakkan dalam senarai menunggu.

“Saya lihat ada sedikit ketidakadilan apabila tiada seorang pun pemain JDT dipanggil untuk perlawanan tersebut. Pemain lain dipanggil tapi tidak pula pemain JDT.

“Mungkin jurulatih (Dollah Salleh) ada alasan dia yang tersendiri, tetapi seperti yang sedia maklum semua orang sudah boleh baca kenapa pemain JDT tidak dipanggil. Pasti ada kaitan dengan kenyataan Tunku Mahkota Johor baru-baru ini,” katanya kepada Utusan di sini semalam.

Bulan lalu Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang meletakkan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor pada Ahad lalu, mengeluarkan kenyataan me­minta pengurusan pasukan kebangsaan tidak lagi menggunakan khidmat pemain JDT untuk mewakili negara pada masa akan datang.

Kenyataannya itu dikeluarkan dipercayai kerana mendakwa JDT dipersalahkan apabila skuad negara tidak menunjukkan prestasi bagus dalam perlawanan antarabangsa.

Ini berikutan keputusan teruk skuad Dollah dalam kelayakan Piala Asia 2019/Piala Dunia 2018, selepas Harimau Malaya dibelasah 6-0 oleh Palestin dan sebelum itu sekadar seri 1-1 dengan Timor Leste.

ep2p-5small