Rombakan Kabinet Dijangka 3 Petang Ini

PUTRAJAYA – Desas-desus rombakan kabinet bakal menjadi kenyataan hari ini apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat pengumuman perubahan anggota kabinetnya pada jam 3.00 petang ini.

 

Beberapa sumber mengesahkan Najib telah mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah petang semalam dan yang terbaru pada jam 10.00 pagi tadi dipercayai berkaitan rombakan tersebut.

 

Beberapa portal berita dan blog politik sebelum ini meramalkan beberapa orang menteri akan digugurkan termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tempatnya diura-urakan akan diganti oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

 

Dalam perkembangan yang sama, kedudukan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin juga diramalkan akan berubah susulan kegagalan membantu parti dalam menarik sokongan belia.

 

Khairy dijangka dipindahkan dari Kemnetrian Belia dan Sukan ke Kementerian Sumber Manusia atau mengisi kedudukan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

 

Manakala tempat Khairy di Kementerian Belia dan Sukan dipercayai akan diisi semula oleh Datuk Ahmad Shaberry Cheek yang ketika ini merupakan Menteri Penerangan.

 

Beberapa nama lain seperti Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Jailani Johari pula dijangka naik pangkat dari Timbalan Menteri kepada Menteri.



This entry was posted in Terkini, Utama. Bookmark the permalink.