Razman Ketuai Skuad Dollah, Rodgers Fokus Aksi Kecergasan

SUBANG JAYA: Kapten skuad Pilihan Malaysia Mohd Razman Roslan berkata perlawanan persahabatan antarabangsa memberi peluang kepada pemain menimba pengalaman serta mempelajari sesuatu daripada skuad yang ditentang mereka.

Pemain pertahanan Pahang yang sebelum ini pernah menolak panggilan ketua jurulatih kebangsaan Dollah Salleh untuk menyertai skuad itu berkata dia sangat teruja untuk berdepan pasukan Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat ini.

“Sebagai pemain kita teruja untuk menentang antara kelab yang terbaik ini. Saya harap perlawanan ini menjadi satu pengalaman yang berguna kepada pemain dan dalam masa yang sama kita dapat mempelajari sesuatu daripada mereka.

“Memang setiap kali kita beraksi kita hendak kemenangan. Tapi bagi saya apa yang penting kita berikan yang terbaik dan menghiburkan penonton dan peminat bola sepak tanah air,” kata pemain berusia 31 tahun ini .

Jelasnya, dia terkejut dengan pengumuman yang dibuat jurulatih yang memilih selaku kapten pasukan bagi menentang Liverpool nanti.

“Memang terkejut dengan pengumuman jurulatih yang melantik saya sebagai ketua pasukan.

“Saya terima dengan hati yang terbuka dan akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin untuk membantu pasukan menentang skuad Liverpool jumaat ini,”katanya.

Sebelum ini, pemain kelahiran Kajang Selangor ini memberi tamparan hebat apabila menolak panggilan Dollah kerana merasakan dirinya tidak cukup bersedia untuk beraksi dalam perlawanan itu.

Namun selepas berbincang dengan jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan yang mengatakan bahawa itu adalah peluang terbaik, Razman kemudiannya hadir melapor diri di Wisma FAM pada Ahad lepas.


Live streaming ada di bptvstream.com

Sementara itu, Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mengakui bukan kemenangan yang dicari menjelang perlawanan persahabatan dengan pasukan Pilihan Malaysia, sebaliknya mahu melihat peningkatan kecergasan pemain-pemainnya.

Dengan tujuh orang pemain baharu yang menyertai kelab ini, Rodgers yakin siri jelajah ini mampu membantu skuadnya memperbaiki tahap kecergasan masing-masing.

“Kami bukan datang ke sini untuk menang, tetapi untuk meningkatkan lagi tahap kecergasan dan taktikal selain mengukuhkan semangat berpasukan,” jelasnya ringkas pada sidang media Ketibaan Pasukan di Saujana Resort pada Rabu.

Rodgers yang pertama kali tiba di Malaysia turut teruja melihat sokongan peminat-peminat fanatik The Reds di sini.

“Sokongan amat luar biasa. Liverpool merupakan ikon di seluruh dunia dan jelajah ini amat penting bagi kami untuk bertemu penyokong-penyokong.

“Kami amat menghargai peluang berada di sini,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali berusia 42 tahun ini mengakui kelab ini telah mengambil iktibar mengenai prestasi keseluruhan musim lalu.

“Musim lalu amat mengecewakan kami. Kami faham apa yang berlaku musim lalu.

“Jadi kami telah membawa pemain-pemain berkualiti untuk membantu pasukan membuat perubahan yang lebih baik.

“Penting bagi kami untuk mengetahui mentaliti pemain-pemain yang menandatangani kontrak dengan kelab ini. Saya gembira membawa masuk mereka yang berkualiti serta mempunyai impian dan semangat untuk kelab.

“Saya percaya pemain-pemain ini akan membantu kami untuk terus berjuang musim baharu nanti,” jelasnya.

Tujuh muka baharu yang menyarungi jersi Liverpool, James Milner, Danny Ings, Joe Gomez, Adam Bogdan, Roberto Firmino dan Nathaniel Clyne.

Bagaimanapun Rodgers enggan mengulas mengenai kemungkinan ada lagi pemain baharu yang akan diikat.

“Saya hanya berminat dengan pemain-pemain yang ada sekarang dan bukannya mengenai siapa keluar, siapa masuk,” katanya.

Liverpool FC bakal menentang Pilihan Malaysia pada Jumaat ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, 8.45 malam.

ep2p-2