Rancang Perjalanan, Pandu Cermat Menjelang Aidilfitri – PM

KUALA LUMPUR – Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya merancang perjalanan dengan teliti supaya dapat memandu dalam keadaan bersedia baik dari segi fizikal dan mental.

 

Perdana Menteri berkata, kelalaian ketika memandu boleh mengundang tragedi.

 

“Menjelang Hari Raya Aidilfitri ini, rancanglah perjalanan anda dengan teliti supaya dapat memandu dalam keadaan yang bersedia baik dari segi fizikal dan mental.

 

“Memandulah dengan cermat dan berhemah serta penuh kesabaran. Ingatlah kelalaian kita boleh mengundang tragedi yang boleh mendatangkan sesalan sepanjang hayat. Ingatlah ibu bapa serta keluarga yang menunggu kepulangan kita dengan selamat,” katanya.

 

Najib berkata demikian dalam rakaman video khas pada Majlis Pelancaran Program Khas: Mesej Daripada Perdana Menteri yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek di Suria KLCC di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abdul Razak dan Pengerusi Yayasan Wangsa Perdana, Datuk Dr. Mohd Shafie Abdullah.

 

Program khas buat kali ketujuh itu dianjurkan Yayasan Wangsa Perdana bersama-sama Bank Rakyat dan Oriental Businesslink Event&Media Sdn. Bhd.

 

Pada majlis yang sama, Ya­yasan Wangsa Perdana menyampaikan sumbangan kepada 50 anak yatim di sekitar Wangsa Maju. – UTUSAN



This entry was posted in Terkini, Utama. Bookmark the permalink.

ep2p-2