Rakyat dinasihatkan jangan mudah percaya media asing.. -Shahir

Rakyat diminta memberi sepenuh kepercayaan dan keyakinan terhadap kemampuan institusi negara dalam menangani isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, rakyat sepatutnya tidak mudah percaya dan membuat sebarang spekulasi kepada anasir luar seperti media asing, sebaliknya perlu bersabar menanti keputusan yang dibuat institusi negara.

“Kita patut bersabar dan percaya kepada institusi di negara kita (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara) untuk siapkan kerja mereka. Kalau kita asyik percaya kepada dakwaan media luar dan orang asing, susahlah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pengagihan bantuan Aidilfitri oleh Umno Bahagian Johor Baharu kepada ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya dan fakir miskin, di Johor Bahru, semalam.

Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu turut menyifatkan tuduhan media asing terhadap 1MDB sebagai disengajakan bagi melihat sejauh mana kekuatan institusi negara ini dalam menangani isu tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sikap media asing yang sering memperlekeh negara membangun seperti Malaysia bukan satu perkara baharu malah ia telah berlaku sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan juga Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Shahrir menambah, sekiranya Malaysia mampu mengatasi situasi dan menjawab semua tuduhan rekaan media asing itu, Malaysia berjaya sebagai sebuah negara demokrasi yang mempunyai institusi yang kuat dan kukuh.

“PAC sendiri juga sudah mulakan pendengaran dan panggil saksi, jadi, kita tunggulah hasil siasatan.”

“Sebab itu, saya antara yang paling gembira bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kabinet setuju 1MDB dirujuk kepada Jabatan Audit Negara dan PAC kerana ini satu keyakinan dalam institusi kita sendiri,” katanya. – UtaraNews.com

ep2p-5small