PSG Sekat Kemaraan Pasukan B13 Negara Di Piala Iber Estoril

Embedded image permalinkPasukan Paris Saint-Germain (PSG) mengalahkan skuad bola sepak negara bawah 13 tahun 4-0 pada perlawanan suku akhir Piala Iber 2015 di Kompleks Estoril Praia di Estoril, Portugal, Sabtu.

Kejayaan itu menyaksikan pasukan Perancis itu akan bertemu juara bertahan, Chivas Guadalajara dari Mexico pada saingan separuh akhir.

Pasukan Mexico itu melangkah ke separuh akhir selepas membelasah pasukan tuan rumah, CF ‘Os Belenenses’ F, 6-0 pada satu lagi perlawanan suku akhir, menurut laman web kejohanan, www.ibercup.com.

Skuad Malaysia Bawah 13 Tahun itu, di bawah naungan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP), baru-baru ini mencipta sejarah apabila menjuarai Piala Iber 2015 di Sepanyol selepas menewaskan pasukan Sporting Lisbon Academy dari Portugal 2-1 pada final.

Embedded image permalinkSementara itu, salah seorang tenaga pengajar NFDP, Raja Azlan Shah Raja So’ib menerusi twitter NFDP, menyifatkan tempo perlawanan menentang kelab Perancis itu sangat tinggi sambil mengakui pasukan negara gagal memanfaatkan peluang terhidang.

Beliau bagaimanapun mengakui kejohanan sedemikian merupakan medan pendedahan terbaik untuk skuad muda negara bagi meningkatkan lagi mutu permainan pasukan berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dalam tweet, menyifatkan kekalahan itu sebagai pengajaran untuk pemain bangkit semula dengan persembahan yang lebih mantap.

Bagaimanapun, beliau memuji usaha baik yang ditampilkan oleh pemain biarpun kalah pada pertarungan suku akhir itu.

Skuad muda negara ini berada di Eropah sejak 28 Mei untuk mengikut latihan di samping bertanding dalam kejohanan jemputan dan mereka akan pulang ke tanah air, esok.

Semasa di Eropah, skuad itu telah melakarkan 21 kemenangan daripada 24 perlawanan dengan menjaringkan sejumlah 69 gol.

Piala Iber merupakan salah satu kejohanan remaja dunia berprestij.

ep2p-2