Polis buru penyamun "batang tebu" belasah warga emas.

Polis memburu empat suspek yang merompak sebuah kedai runcit dengan
bersenjatakan batang tebu di Sagil, Johor, pada Rabu, minggu lalu.

Perbuatan suspek berusia lingkungan 30-an itu turut dirakam dalam kamera
litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan dan kini video itu berdurasi
kira-kira 1 minit 40 saat menjadi viral dalam laman sosial serta portal
berita.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 11 pagi itu, suspek terbabit turut
beberapa kali memukul pemilik kedai berkenaan berusia lingkungan 60-an,
malah isterinya turut berada di premis itu, namun kedua-dua mereka tidak
cedera.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohamed Salleh Abd Razak,
berkata kumpulan itu kemudian melarikan pelbagai kad jenis tambah nilai
prabayar berjumlah RM1,000, wang tunai dan beberapa botol minuman keras.

“Jumlah kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM4,000 dan siasatan
awal polis mendapati keempat-empat lelaki berkenaan berasal dari luar
daerah ini dan berada di bawah pengaruh alkohol ketika merompak kedai
terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammed Salleh berkata, polis sedang memburu kumpulan terbabit dan
siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana
melakukan rompakan berkumpulan.

“Pada masa sama, kita berharap orang ramai yang mengenali suspek selepas
rakaman CCTV itu disebarkan menerusi laman sosial supaya tampil
memberikan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

ep2p-2