Pesanan terakhir Arwah Nik Aziz tentang DAP..

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abduh Aziz hari ini memaklumkan amanat bapanya yang juga bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu Pas untuk terus kekalkan hubungan dengan DAP selagi parti itu tidak memutuskan hubungan terlebih dahulu.

Nik Abduh berkata, bapanya telah berpesan kepada dirinya untuk tidak memutuskan hubungan dengan DAP, jika parti itu sendiri yang mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Pas.

“Dia pesan kepada saya jangan berpecah dengan DAP sehingga DAP sendiri buat keputusan untuk kerat (putus) dengan Pas, harapannya kalau terpaksa berpecah biarlah DAP yang mulakan dahulu dan itu berlaku,” kata Nik Abduh.

Beliau yang turut mengulas mengenai penubuhan parti baharu, Gerakan Harapan Baru (GHB) oleh pemimpin yang tewas pada pemilihan lalu berkata, pihaknya tidak menghalang mereka ini untuk menyertai parti baharu mahupun DAP, tetapi mereka perlu keluar dari Pas kerana mengkhianati parti

Bagi yang ahli Pas yang masih keliru untuk menyertai parti itu, beliau berkata, mereka perlu melupakan hasrat itu kerana penubuhan parti baru tidak akan kekal lama.

Oleh itu, beliau menyarankan mereka agar kekal istiqamah bersama parti.

“Yang telah buat keputusan untuk berpindah kita alu-alukan dan ucapkan selamat tinggal kepada mereka sama ada untuk sertai Harapan Baru atau sertai DAP.

“Kepada mereka yang masih keliru harapnya beri masa.. lihat, dengar dan berfikir. Saya nasihat kekal istiqamah dengan Pas,” katanya.

Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini membuat keputusan bahawa hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik parti itu dengan DAP terbatal namun pihaknya masih mengekalkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.-Utaranews.com-

ep2p-5small