Perdana Menteri mahu rakyat dan kerajaan ada komunikasi yang berkesan.

Sesebuah kerajaan memerlukan sistem komunikasi yang berkesan supaya setiap dasar yang diperkenalkan dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sekiranya ia didapati gagal, rakyat pasti tidak dapat menerima dasar-dasar tersebut secara sepenuh hati meskipun tujuan diperkenalkan adalah untuk kebaikan.

“Salah satu daripada persiapan sebagai sebuah kerajaan adalah soal perhubungan atau komunikasi kerana semakin berkesan komunikasi rakyat akan lebih jelas tentang apa sesuatu tujuan kerajaan itu.”

“Sekiranya tujuan kita baik pun, tujuan kita murni pun, tetapi jika komunikasi kita tidak difahami dan tidak dihayati maka sesuatu dasar itu tidak akan diterima sepenuh hatinya oleh rakyat,” katanya.

Beliau dalam ucapannya berkata demikian pada majlis Penyerahan Felo Perdana 2015 Kepada Barisan Menteri Kabinet di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam.

Selain itu, Najib menerusi ucapannya turut menyentuh tentang kepentingan setiap pertimbangan yang perlu diambil kira oleh kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan dalam suasana dunia yang semakin kompleks.

“Sebenarnya dalam dunia yang semakin kompleks terdapat beberapa keputusan yang sukar untuk diputuskan dan kebanyakannya amat memerlukan kepada pertimbangan-pertimbangan yang harus dilihat sama ada keadaan semasa atau menentukan sesuatu itu berdasarkan kejayaan kemudian hari,” katanya. – UtaraNews.com

ep2p-2