Penubuhan Jawatankuasa Khas Tidak Ganggu Fokus Dollah

Dollah SallehKUALA LUMPUR – Pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh menegaskan bahawa dia tidak akan mengalihkan tumpuannya daripada membina pasukan untuk meneruskan baki kempen Piala Asia 2019/Piala Dunia 2018 meskipun kredibilitinya kelihatan tercabar selepas Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bakal menubuhkan jawatankuasa khas untuk memulihkan semula imej pasukan negara.

Katanya, adalah lebih baik untuk dia menyerahkan perkara tersebut sepenuhnya kepada badan induk bola sepak negara kerana apa yang lebih mustahak ketika ini adalah memberi tumpuan kepada tugasnya.

“Berkenaan hal itu saya serahkan bulat-bulat kepada FAM untuk menentukan siapa yang bakal mengendalikan jawatankuasa tersebut untuk tujuan memantau skuad bola sepak negara. Saya tidak kisah.

“Apa yang lebih penting kepada saya ketika ini adalah melakukan pemantauan terhadap pemilihan pemain secara berterusan, malah kami (barisan jurulatih) berpecah untuk menyaksikan perlawanan dalam Liga Malaysia agar dapat membuat pemilihan secara menyeluruh.

“Secara jujurnya kami mempunyai masalah ketandusan pemain (yang dapat) bermain dengan baik di peringkat antarabangsa sebab dalam persaingan liga domestik mereka bagus tetapi apabila diberi peluang beraksi di pentas antarabangsa mereka akan mempamerkan tahap permainan yang berbeza.

“Sememangnya saya mahu mencari pemain muda, bagaimanapun apabila mereka beraksi dalam perlawanan sebenar mereka kelihatan gugup dan ini masalah yang perlu saya atasi,” katanya selepas mengendalikan klinik bola sepak One Goal di sini semalam.

Jawatankuasa khas tersebut akan diwujudkan oleh FAM selepas Hari Raya Aidilfitri dan bakal dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad. Jawatankuasa itu akan dianggotai beberapa pegawai FAM, selain pihak luar dari badan induk bola sepak negara itu.

Dollah, yang skuadnya sekadar seri 1-1 dengan Timor Leste sebelum dibelasah 6-0 dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia/Piala Dunia pada Jun lalu, perlu mencari kemenangan untuk membolehkan Harimau Malaya kembali bersemangat dalam mengharungi baki persaingan peringkat kumpulan.

Sekiranya gagal berbuat demikian, dia bukan sahaja bakal menghadapi kritikan lebih teruk daripada peminat tempatan malah akan menyebabkan FAM kehilangan presiden.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kelmarin mempertaruhkan jawatannya, yang dimaklumkan menerusi teks ucapan presiden yang dibacakan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM kali kelima bagi sesi 2014-2018.

“Sudah menjadi lumrah apabila kalah jurulatih akan menjadi sasaran, jadi saya terima. Berbeza sewaktu zaman saya bergelar pemain kerana pada waktu itu sekiranya skuad negara mempamerkan prestasi buruk pemain yang akan kena cemuh tetapi sekarang orang lebih gemar menjadikan jurulatih sebagai sasaran,” katanya.

– Utusan

ep2p-2