Pasukan Petugas Khas Selesai Siasat Pejabat 1MDB

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas yang ditugaskan menjalankan siasatan di pejabat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Jalan Sultan Ismail, hari ini, selesai melakukan tugasnya, sebentar tadi.

 

Empat pegawai dari pasukan berkenaan dilihat membawa keluar satu unit CPU komputer dan satu kotak, dipercayai mengandungi dokumen berkaitan 1MDB untuk tujuan siasatan.

 

Barang-barang itu kemudiannya dibawa menaiki sebuah kenderaan polis dan meninggalkan perkarangan Menara IMC, yang menempatkan pejabat 1MDB di aras lapan, pada kira-kira jam 6.15 petang.

 

Pasukan itu tiba di syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu pada jam 11.30 pagi tadi.

 

Pasukan yang ditubuhkan membabitkan empat agensi – Pejabat Peguam Negara, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum ini, dipertanggungjawabkan menjalankan siasatan berikutan dakwaan media antarabangsa, kononnya wujud penyaluran dana berkaitan 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Terdahulu, 1MDB dalam kenyataannya mengesahkan pejabat mereka didatangi anggota pasukan khas itu, malah syarikat itu juga menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama sepenuhnya terhadap pasukan khas itu. – BHarian



This entry was posted in Berita (Semasa), Terkini. Bookmark the permalink.

ep2p-5small