Pasukan Petugas Khas Beku Enam Akaun Bank

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyaluran dana ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah mengeluarkan perintah pembekuan terhadap enam akaun bank dipercayai pihak yang terbabit dalam kes itu.

 

Perintah pembekuan dikeluarkan semalam, selain pasukan terbabit juga sudah mengambil dokumen berkaitan 17 akaun dari dua bank bagi membantu siasatan.

 

Kemajuan siasatan itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang dikeluarkan hari ini.

 

“Pasukan Petugas Khas juga sudah mengambil dokumen-dokumen membabitkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit. Siasatan masih berjalan,” menurut kenyataan itu.

 

Sehubungan itu, pasukan berkenaan menyeru kepada semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan. – BERNAMA



This entry was posted in Berita (Semasa), Terkini. Bookmark the permalink.

ep2p-2