Pasukan Malaysia Pamer Persembahan Sangat Baik – Kolo Toure

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Bakat serta minat mendalam terhadap bola sepak telah membentuk pemain pertahanan Liverpool, Kolo Toure, sehingga menjadi antara bintang pujaan ramai dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Bakat sahaja tidak akan membawa anda ke mercu kejayaan. Anda juga perlu mempunyai kecintaan mendalam terhadap sukan ini.

“Sekiranya anda memiliki bakat, itu suatu anugerah sangat berharga. Tetapi, berdasarkan pengalaman, saya dapati bahawa kecintaan mendalam terhadap sukan ini menjadi penggerak utama ke arah kejayaan,” katanya apabila ditanya tentang petua untuk menjadi seorang bintang bola sepak terkemuka.

Toure, 34, berkata demikian selepas perlawanan persahabatan antara pasukan Pilihan Malaysia dan Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.

Bekas pemain Manchester City dan Arsenal itu, yang menganggotai skuad ‘halimunan’ The Gunners bagi musim 2003/04, bagaimanapun tidak diturunkan dalam aksi menentang Pilihan Malaysia, oleh pengurus Liverpool, Brendan Rodgers, malam tadi.

Pemain antarabangsa Ivory Coast itu juga memuji persembahan Malaysia ketika menentang pasukannya di hadapan kira-kira 45,000 penonton malam tadi, yang sebahagian besarnya adalah peminat tegar Liverpool.


“Pasukan Malaysia mempamerkan persembahan sangat baik…ada beberapa pemain hebat di bahagian serangan dan pertahanan. Tetapi, perkara paling penting ialah keadaan pasukan itu sendiri, mereka berganding bahu kerana mereka tahu kami memiliki kualiti lebih tinggi, tetapi apabila mereka berpadu tenaga dan membina benteng secara bersama, pergerakan kami menjadi lebih sukar.

“Keputusan perlawanan memang baik kerana kedua-dua pasukan bermain dengan baik. Kami mempunyai peluang untuk menang, tetapi, seperti yang anda tahu, pasukan Malaysia bekerja keras dan kami patut beri pujian kepada mereka. Bagi kami, ini perlawanan pra-musim yang penting,” katanya.

Antara pemain Malaysia yang mempamerkan prestasi paling cemerlang malam tadi ialah penjaga gol Pahang Khairul Azhan Khalid, pemain tengah Sarawak Joseph Kalang Tie dan pemain gantian pada minit ke-85 daripada skuad Harimau Muda B (skuad kebangsaan Bawah-23), S. Kumaahran, yang bertindak sebagai penyerang.

Liverpool seri 1-1 berdepan Pilihan Malaysia, yang turut dibarisi lima pemain import.

Malaysia berada di hadapan pada minit ke-12 melalui pemain import dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh, yang beraksi untuk pasukan PKNS FC, sebelum Jordon Ibe menjaringkan gol penyamaan Liverpool, 16 minit kemudian.

— BERNAMA

ep2p-5small