PAS tak cukup Islam kerana pertahankan Najib.. – Lim Guan Eng

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan pemimpin Pas yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu pendedahan Wall Street Journal (WSJ) sebagai songsang dari perjuangan parti.

Beliau berkata demikian selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan mempertahankan Najib mengenai tuduhan yang dilemparkan WSJ kepada perdana menteri itu dengan mengatakan setiap dakwaan yang dilemparkan perlu disertakan dengan empat orang saksi.

Bagi Ketua Menteri Pulau Pinang itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden Pas itu amat mengejutkannya kerana saksi yang diperlukan oleh Hadi tidak diperlukan dalam kes penyelewengan seperti ini.

Katanya, Hadi tidak boleh menyamakan kes penyelewengan dengan kes liwat bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia adalah kes yang berbeza.

Menurutnya lagi, Pas lebih rela mempertahankan tuduhan yang dilemparkan kepada perdana menteri daripada tuduhan yang dilemparkan kepada Anwar sebelum ini.

“Ini adalah suatu yang mengejutkan kerana kes 1MDB tidak sama dengan kes Anwar.  Saya tak nak komen mengenai kes Anwar kerana ia melibatkan kes akhlak. Namun jika dalam kes rasuah juga perlu dikemukakan empat orang saksi maka akan bebas untuk melakukan rasuah.

“Saya rasa apa yang dinyatakan Pas tidak berlaku di negara Islam lain malah di sana cukup sekadar bukti melalui dokumen dan transaksi untuk mendakwa seseorang yang terlibat dengan skandal rasuah,” kata Guan Eng dalam satu sidang media di Georgetown hari ini.

Selain Hadi, Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din turun mengeluarkan kenyataan mempertahankan perdana menteri dengan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak logik.

Guan Eng turut membidas kenyataan pemimpin Pas tersebut dengan mengatakan pemimpin Pas kini semakin pelik dan semakin jauh dari dasar perjuangan parti apabila tetap berdiri bersama perdana menteri.

Katanya, rakyat sendiri jelas dapat menilai kredibiliti pemimpin Pas kini yang menyokong musuh demi mencapai dasar perjuangan hudud mereka.

“Satu pihak cakap menentang isu skandal 1MDB dan satu pihak lagi dilihat menyokong Perdana Menteri. Saya rasa rakyat boleh menilai macam mana kepimpinan Pas sekarang yang jauh berubah,” katanya.-Utaranews.com-

ep2p-5small