Panggilan Terakhir Sebelum Ajal

TELOK KEMANG – “Kalau mak tak ada, tak apa kan?,” itu pertanyaan terakhir Nor Azina Mohd. Ratki, 39, kepada salah seorang anaknya yang dihubungi sebelum motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki bersama suaminya, Shamasrol Abu Bakar, 36, terbabas di Kilometer 14.2, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson arah Seremban, pada pukul 4 pagi ini.

 

Pertanyaan arwah yang seolah-olah tahu ajalnya hampir tiba itu didengari rakannya, Izzaty Senin, 25, beberapa minit sebelum kemalangan ngeri melibatkan motosikal jenis Naza Blade itu berlaku.

 

Lebih menyayat hati kata Izzaty, kemalangan yang berlaku selepas sahur itu menyebabkan kepala Nor Azina terputus semasa terjatuh daripada motosikal di­percayai akibat terkena besi pembahagi jalan manakala anggota badannya tercampak lebih 20 meter.

 

Menurutnya, suami mangsa pula cedera parah serta putus tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

 

“Sebelum kemalangan, kami sempat mengisi minyak di Petronas Port Dickson pada pukul 3.45 pagi dan saya ada terdengar Nor Azina kata dia mengantuk. Ada rakan kami yang memberi cadangan untuk bermalam di Port Dickson memandangkan hari ini cuti, namun semua sepakat pulang ke Kuala Lumpur sahaja.

 

“Pada ketika itu, Nor Azina juga ada menghantar mesej dalam WhatsApp kumpulan dan meminta supaya menjaga tiga orang anaknya. Dia seperti tahu itu adalah sahurnya yang terakhir bersama suaminya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Jenazah mangsa dibawa ke Masjid Datuk Haji Kamaruddin di Petaling Jaya, Selangor untuk di­sembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara selepas asar, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

ep2p-2