Nasib Tiga Pemain Selangor Di Tangan FAM, Harimau Malaya Berwajah Baru

Datuk-Hamidin-Mohd-Amin (1)PETALING JAYA: Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menentukan nasib tiga pemain Selangor yang dikatakan enggan dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk aksi persahabatan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC, Jumaat lepas.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau sudah mendapat laporan daripada pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh berhubung perkara berkenaan dan ia sudah dibawa ke pengetahuan jawatankuasa itu untuk siasatan lanjut.

“Saya masih belum mendapat apa-apa maklumat daripada jawatankuasa berkenaan kerana mungkin mereka masih menilai perkara berkenaan. Saya tidak pasti (bila keputusan akan dikeluarkan) tapi kita tunggu daripada Pengerusi (DatukTakiyuddin Hassan) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata badan induk itu tidak akan mencampuri sebarang keputusan yang akan diputuskan oleh jawatankuasa berkenaan nanti.

Pengurus pasukan Selangor, Amiruddin Shari sebelum ini dilaporkan bertegas untuk tidak melepaskan Mohd Afiq Azmi, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain import dari Australia, Robert Cornwaithe untuk sesi latihan pusat bagi aksi persabahatan menentang Liverpool FC.

Beliau mendakwa perlawanan berkenaan tidak membawa sebarang faedah kepada skuad Harimau Malaya kerana ia bukan perlawanan yang membawa mata kepada ranking Malaysia dalam kedudukan ranking FIFA.

Skuad Pilihan Malaysia seri 1-1 menentang Liverpool FC pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 24 Julai lepas.

Mengikut peraturan FAS didenda tidak melebihi RM50,000 atau tiga mata maksimum dipotong dalam pertandingan liga atau lain-lain tindakan yang difikirkan bersesuaian oleh FAM.


Ia berdasarkan peraturan FAM Lampiran 1 Artikel 24: Prinsip 24.1 yang mewajibkan pasukan melepaskan pemain bagi mewakili Malaysia berdasarkan kewarganegaraan atau menyertai aktiviti bola sepak kelolaan badan induk ini untuk kepentingan pembangunan bola sepak negara.

Sementara itu Datuk Hamidin juga menegaskan tidak akan timbul lagi isu pasukan enggan lepaskan pemain untuk skuad kebangsaan menjelang kelayakan Piala Dunia 2018/Kelayakan Piala Asia 2019.

Pengendali skuad kebangsaan Dollah Salleh telah berdepan kesukaran ketika memilih pemain untuk berdepan Liverpool 24 Julai lalu.

Selangor muncul pasukan ingkar beri pelepasan kepada pemain sekaligus mengundang hukuman berat dari badan induk bola sepak negara.

Walaubagaimanapun, Hamidin beri jaminan situasi tersebut tidak akan berulang.

“Saya kira kali ini perkara sama tidak akan berulang kerana semua panggilan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan harus disahut tanpa alasan,” katanya.

Disamping itu, Hamidin yang juga selaku pengurus Harimau Malaya turut beri bayangan Harimau Malaya kali ini akan berwajah baru.

“Saya telah mengadakan pertemua bersama Dollah Salleh dan banyak muka baru serta bakat muda termasuk pemain yang dahulunya cedera akan membuat penampilan.

Saya turut cakap kepada Dollah untuk pilih pemain yang mampu beri komitmen penuh diatas padang,” katanya.

ep2p-5small