MWC Shanghai 2015: Jam Tangan Pintar Intex iRist

Intex mungkin jenama yang kurang popular dikalangan kita semua. Jenama yang berasal dari India ini merupakan pengeluar barangan elektronik sejak tahun 1996. Hanya bermula tahun 2007 mereka telah memulakan produk telefon bimbit mereka. Di Mobile World Congress Shanghai, selain dari memperkenalkan Intex Aquafish yang dikuasakan oleh sistem operasi dari Jolla iaitu Sailfish, mereka juga telah memperkenalkan jam tangan pintar mereka yang dipanggil Intex iRist.

Intex iRist
Pemproses MediaTek MTK6572 1.2GHz Dual-core
Skrin 3.9cm
RAM 512MB
Muatan Dalaman 4GB + MikroSD
Kamera 5 MP + Rakaman Video 720p
Bateri 600 mAh

Jam tangan Intex iRist ini merupakan jam tangan pintar yang menjalankan Android 4.4 sepenuhnya dan tidak beroperasi menggunakan Android Wear. Dengan menjalankan sistem operasi Android 4.4 bermaksud kebanyakan fungsi yang ada pada platform KitKat tersebut dapat diakses dan dijalankan. Terdapat pelbagai aplikasi yang sedia ada pada jam tangan pintar ini termasuklah Pedometer bagi mengesan aktiviti kecergasan pengguna. Pengguna juga boleh memuat-turun aplikasi dari Google Play namun mungkin akan timbul masalah dari segi paparan antaramuka.

Dari segi rekabentuk, ia agak besar, malah lebih bear dari peranti Android Wear yang pernah dicuba. Ia mempunyai paparan skrin bersaiz 3.9cm dengan resolusi 240×240 pixel dan dilindungi kaca Sapphire. Tali jamnya pula diperbuat daripada Silicon TPU, agak lembut dan selesa dicuba sama seperti tali jam G-Shock. Boleh dikatakan juga saiz peranti ini menghampiri saiz jam tangan G-Shock. Kemasan badannya pula berkilat.

Dari segi spesfikasi, jam tangan pintar yang mampu beroperasi sebagai telefon ini mampu memuatkan satu kad SIM yang boleh dimasukkan pada slot sebelah kiri, dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek MT6572 1.2GHz, 512MB RAM, storan dalaman 4GB yang boleh ditambah dengan kad Mikro-SD namun perlu dibuka penutup belakang jam ini, dan turut mempunyai kamera 5MP pada bahagian tepi. Dibawah kamera adalah butang Back, dan di bahagian atas adalah butang Kuasa.

Kameranya pula berkebolehan untuk merakam video sehingga resolusi 720p, dan mempunyai pengecaman wajah. Intex iRist juga mempunyai bateri berkapasiti 600mAh yang mampu memberikan waktu pengoperasian selama 240 minit bagi waktu bercakap dan sehingga 200 jam untuk mod sedia. Namun begitu jam tangan ini tidak mempunyai sebarang sensor bagi mengesan degupan jantung, mungkin bagi mengurangkan kos penjualan peranti ini.

Sewaktu mencubanya, perasaan memakainya seumpama menggunakan G-Shock. Ia agak besar, berbadan petak namun ia agak ringan. Dari segi saiz, ia boleh dikatakan mempunyai besar seperti LG G Watch Urbane, dan lebih tebal. Ketebalannya mungkin dipengaruhi oleh kamera 5MP pada bahagian tepi namun semasa mengambil gambar, pengguna perlu memastikan jam tangan berada dalam keadaan mendatar. Sekiranya pengguna mengambil gambar dalam paksi menegak, paparan akan turut dipusingkan dan bermaksud pengguna mengambil gambar bukan dalam paksi yang betul.

Buat masa ini, jam ini hanya beroperasi pada satu posisi. Ini bermaksud bagi pengguna yang kidal atau pengguna yang ingin memakai jam ini pada tangan kanan, paparan antaramukanya tidak boleh dipusingkan, meskipun pengguna ‘memusingkan’ jam tersebut dengan cara menukar tali. Mungkin perkara ini akan diperbaiki apabila jam ini muncul di pasaran kelak. Sepanjang percubaannya juga tiada sebarang lengah masa yang dialami semasa menggunakan peranti ini dan agak responsif. Paparan tulisan dan resolusi agak jelas.

Peranti ini akan hadir untuk pasaran India tidak lama lagi pada harga INR 11999 (~RM 719) dan pada harga sebegini untuk penawaran peranti jam tangan pintar dilihat berada pada kadar harga patut. Meskipun peranti ini berkemungkinan sukar untuk hadir ke pasaran tempatan, Intex agak terbuka dalam meneroka pasaran selain negara India.

ep2p-2