Motorola Memperkenalkan Moto X Generasi Baru – Hadir Dalam Variasi Moto X Style Dan Moto X Play

Selain daripada Motorola Moto G generasi ketiga, pihak Motorola juga turut memperkenalkan kemaskini untuk keluarga Moto X. Moto X 2015 ini hadir dalam dua variasi, iaitu Moto X Style dan juga Moto X Play.

Moto X Style

Moto X Style hadir dengan spesifikasi yang lebih tinggi berbanding dengan Moto X Play. Moto X Style menggunakan skrin bersaiz 5.7-inci dengan paparan pada resolusi Quad HD, dijana menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 808, dan seperti kebanyakkan peranti flagship baru, ia menyertakan memori 3GB RAM. Peranti ini hadir dengan variasi storan 16GB hingga 64GB – dimana masing-masing boleh diperluaskan dengan sokongan mikro-SD.

Untuk tujuan rakaman gambar, ia menggunakan kamera belakang 21-megapixel, dan kamera selfie 5-megapixel.

Telefon pintar berasaskan Android ini turut dilengkapi dengan bateri berkapasiti 3000mAh, serta pilihan pelbagai kerangka berbeza melalui Moto Maker.

Peranti ini menggunakan Android 5.1 Lollipop, tetapi Motorola mengatakan ia boleh dikemaskini kepada Android M pada penghujung tahun ini selepas ia dilancarkan kelak.

Moto X Style ini berharga $399 (~RM1519) dan akan dijual dibeberapa buah negara tidak lama lagi.