MHC Akan Umum Jurulatih Baru, Beng Hai Mahu Latih Sapura

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) memberikan ‘lampu hijau’ kepada Tai Beng Hai untuk kembali mengendalikan pasukan hoki Sapura menjelang saingan baharu Liga Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) yang akan membuka tirai 2 Ogos ini.

Keputusan tersebut dibuat sejurus kontrak Beng Hai sebagai ketua jurulatih skuad hoki negara akan tamat pada Jumaat ini sekali gus membolehkannya bebas untuk mengendalikan mana-mana pasukan selepas ini.

“Kontrak Beng Hai akan tamat penghujung bulan ini dan dia tidak akan lagi bersama pasukan kebangsaan. Kami akan menunggu keputusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Lembaga Eksekutif (dijangka pertengahan bulan depan) berhubung pelantikan jurulatih baharu.

“Jadi, kami memutuskan dia boleh mengendalikan mana-mana pasukan sekiranya dia mahu. Bagi kami, ia bukan satu isu lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MHC, K. Logan Raj kepada pemberita pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, Logan Raj yang juga bekas ketua pasukan skuad hoki negara mendedahkan MHC akan mengumumkan ketua jurulatih baharu menggantikan tempat Beng Hai selepas Mesyuarat Jawatankuasa Lembaga Eksekutif badan induk tersebut, dijangka pertengahan bulan depan.

Buat masa ini, empat pengendali tempatan termasuk Beng Hai iaitu Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, Nur Saiful Zaini Nasiruddin dan Lim Chiow Chuan dilaporkan berada dalam senarai pendek untuk memegang jawatan tersebut selepas ini.


“Kami akan mengumumkan kepada semua pihak selepas mendapat keputusan konkrit daripada Mesyuarat Jawatankuasa Lembaga Eksekutif nanti. Sehingga itu, saya berharap semua pihak dapat bersabar dan berikan kami ruang.

“Buat masa ini saya tidak boleh menjawab kerana masih tiada sebarang keputusan kukuh kerana banyak perkara baharu akan berlaku selepas mesyuarat tersebut.

“Beng Hai telah menjalankan tugasnya dengan baik. Memang banyak spekulasi yang berlaku ketika ini… tunggu sehingga MHC mengeluarkan kenyataan rasmi selepas ini,” jelasnya.

Sebagai rekod, Beng Hai mula ditugaskan sebagai pengendali sementara skuad hoki negara menggantikan Arul Selvaraj sewaktu menjuarai Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) di Singapura awal tahun ini.

Kemudian, dia dilantik secara tetap bagi mengendalikan pasukan pada Separuh Akhir WHL di Antwerp, Belgium yang menjadi tugasan terakhirnya sehingga kontraknya berakhir, Jumaat ini.

– Kosmo

ep2p-2