Mat Rempit di Terengganu akan didenda 3 bulan belajar Sekolah Pondok.

Terengganu dilaporkan mempunyai cara yang unik untuk memberi pengajaran kepada mat rempit apabila sedang mengkaji kemungkinan menghantar mereka ke sekolah pondok sekiranya golongan itu terus bermaharajalela sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, golongan berkenaan akan ditempatkan di sekolah-sekolah pondok sekitar negeri ini selama tiga bulan untuk mengikuti kelas fardu ain sebagai satu ‘hukuman’ terhadap mereka.

Beliau memberitahu, mat rempit dikehendaki memakai jubah serta berkopiah sepanjang berada di sekolah pondok nanti.

“Kita serah pada polis untuk penguatkuasaan dan diambil tindakan. Saya masih bersabar dan serah pada polis untuk tambah anggota selain wujudkan pasukan khasnya.

“Mungkin kita akan hantar mereka (mat rempit) ke pondok-pondok dan duduk di sana selama tiga bulan untuk belajar fardu ain sambil memakai jubah dan kopiah. Kita mungkin akan buat dan kita sedang lihat perkara ini,” katanya.

Ahmad Razif berkata, tindakan tegas ke atas mat rempit akan dilakukan memandangkan pelbagai usaha dan rundingan antara pihak kerajaan dengan wakil kumpulan terbabit termasuk perancangan kerajaan membina litar khusus untuk mereka masih belum berhasil.

“Kita akan pastikan insiden pada raya pertama (operasi menangkap lebih 100 mat rempit) tidak berulang.

“Minggu depan saya panggil ‘bos-bos’ mereka untuk beri kata dua. Kita nak mereka beri jaminan kepada kita dan pastikan insiden yang berlaku pada hari raya pertama tidak berulang,” tegasnya.

Menteri Besar turut tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri membatalkan pembinaan litar khas untuk mat rempit itu jika usaha ‘memulihkan’ mereka gagal.

ep2p-5small