Masih Ramai Penyokong Setia, Peminat The Reds Tak Sabar Tunggu Jumaat

PEMINAT wanita Liverpool (dari kiri) Lydia Akee, Sharimie Othman, KEMUNCULAN kelab gergasi England, Liverpool pada aksi persahabatan menentang Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Jumaat ini pasti ditunggu-tunggu oleh lebih 400,000 peminat setia skuad The Reds di Malaysia.

Namun sejak kebelakangan ini, The Reds gagal mengulangi pencapaian me­rangkul trofi dalam saingan peringkat domestik mahupun Eropah selepas kali terakhir memenangi Carling Cup bagi musim 2011/12 dan trofi Liga Juara-Juara (musim 2004/2005).

Biarpun kemarau sebarang trofi sejak tiga tahun lalu, ia tidak menghalang peminat setia mereka di Malaysia untuk terus aktif memberi sokongan mene­rusi laman sosial yang dianggarkan berjumlah lebih 400,000 berbanding penyokong musuh tradisi, Manchester United lebih 300,000 penyokong.

Lydia, 28, berkata, ketika Liverpool datang ke negara ini buat kali pertama pada 2011, dia tidak berpeluang me­nyaksikan perlawanan kerana masih bergelar pelajar.

“Kali pertama Liverpool datang Malaysia, saya tidak dapat pergi ke stadium kerana masih belajar dan tidak mempunyai wang yang cukup.

“Bagaimanapun sekarang, saya sudah bekerja, jadi saya tidak akan mensia-siakan peluang kedua yang hadir.

“Bagaimana saya mula meminati pasukan ini? Ia boleh dikatakan macam cinta pandang pertama.

“Saya ikut kawan menonton perlawanan Liverpool (di televi­syen) dan selepas itu terus jatuh cinta. Hingga hari ini saya ikut perkembangan Reds,” jelas Lydia.

Kata Lydia, dia meminati kapten baharu Li­verpool, Jordan Henderson yang dianggap memiliki rupa paras menarik serta sifat kepimpinan yang bagus.

Beberapa pembelian pemain baharu Reds seperti Danny Ings dan James Milner pastinya dinantikan peminat-peminat untuk melihat kebangkitan semula skuad mereka dalam memburu kejuaraan.

Sementara itu, seorang lagi peminat baharu Liverpool, Masmawarni Sohhimi, 27, mengakui, dia begitu teruja apabila me­ngetahui pasukan kegemarannya akan datang ke Malaysia.

“Sudah tentu, antara sebab utama kalau perempuan meminati seseorang pemain adalah kerana rupa parasnya.

“Kedua barulah kehebatan dan kemahiran yang diperagakan pemain itu di atas padang,” katanya sambil berseloroh.

Kata Masmawarni bekata, pemain kegemarannya adalah penjaga gol, Simon Mignolet dan bintang tengah, Philippe Coutinho.

Sementara itu Kegagalan beraksi cemerlang telah menyebabkan ramai peminat Liverpool yang dianggap masih ‘mentah’ di seluruh dunia berubah angin dengan menyokong pasukan lain. Namun, masih ramai penyokong pasukan yang terke­nal dengan slogan You’ll Never Walk Alone (YNWA) itu sebenarnya masih kekal setia hingga hari ini.


Salah seorang wakil pemi­nat tegar The Reds, Mohd. Zahari Mohd. Shoib memberitahu, rata-rata mereka mula memi­nati Liverpool disebabkan oleh pemain-pemain legenda seperti Ian Rush, Michael Owen dan Robbie Fowler.

Mohd. Zahari yang juga pe­ngasas laman sosial Facebook peminat Liverpool Malaysia, Malaysian Reds berkata, biarpun Liverpool masih kemarau sebarang kejuaraan, namun ba­nyak peminat masih kekal setia bersama pasukan kesayangan mereka itu.

“Tidak ada sebarang trofi membuatkan kami lebih sepakat dan ia tidak mengecilkan jumlah peminat. Bahkan ia menambah­kan peminat kerana sema­ngat You’ll Never Walk Alone itu sendiri akan menambah kekuatan kepada peminat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Seorang lagi peminat yang tidak asing lagi dalam dunia lakonan, Afdlin Shauki berkata, kehadiran Liverpool ke Malaysia sangat dinanti-nantikan seluruh peminat Malaysia selepas kali terakhir The Reds datang ke Kuala Lumpur pada tahun 2011.

Katanya, rata-rata penyokong Liverpool di Malaysia terdiri daripada golongan berumur dan bukan penyokong muda yang semestinya meminati kelab popular seperti Manchester United.

“Saya sudah berada di belakang Liverpool sejak berusia 12 tahun dan semestinya penyokong YNWA bukan seperti lalang yang suka menukar pasukan bila mereka kalah.

“Peminat Liverpool terdiri daripada golongan yang sudah berusia dan mereka kebanyakannya kekal setia di belakang The Reds tidak kira menang atau kalah,” katanya.

Tambahnya, pada pertemuan menentang Pilihan Malaysia, Liverpool pasti akan beraksi cemerlang.

“Secara logiknya Liverpool akan memenangi perlawanan itu, jika Thailand kalah dengan jaringan 0-4, saya rasa Pilihan Malaysia tewas 1-3,” ujarnya.

Dalam pada itu, jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan yakin peminat tegar sepertinya pasti tidak akan melepaskan peluang keemasan untuk bertemu dengan legenda Liverpool se­perti Robbie Fowler dan Dietmar Hamann.

“Saya meminati Liverpool sejak kecil kerana corak permai­nan yang mereka aplikasikan atas padang begitu unik. Malah, pemain-pemain yang mereka miliki juga begitu hebat beraksi dan pasti memberi keterujaan kepada semua peminat di seluruh dunia.

“Pada aksi Jumaat ini, jumlah gol tidak penting kerana yang penting para pemain negara dapat menimba pengalaman dan mempelajari taktik serta strategi yang digunakan di atas padang kerana mungkin ini adalah peluang pertama dan ter­akhir mereka beraksi bersama Liverpool,” katanya.

Sebagai rekod, The Reds ketika di bawah kendalian Kenny Dalg­lish pernah menewaskan Malaysia 6-3 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada tahun 2011 lalu.

ep2p-5small