Kerajaan akan gubal undang-undang untuk kawal isu perkauman.

Perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum serta bangsa perlu dijaga dan dipelihara sebaik mungkin selain menjamin keamanan negara. Justeru, cadangan penggubalan Rang Un­dang-Undang Keharmonian Nasional pada masa ini adalah sangat tepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, langkah kerajaan itu bertujuan memupuk persefahaman serta menyemai sikap saling hormat-menghormati sesama masyarakat yang hidup dalam suasana berbeza etnik dan juga kepercayaan.

“Rang undang-undang ini di­gubal menerusi rundingan antara pelbagai pihak berkepentingan yang bermatlamat untuk memelihara keamanan dan perpaduan melalui pendidikan, amalan kesederhanaan dan perbincangan.”

“Ini merupakan langkah pertama bagi mencapai perpaduan dan keamanan menerusi ruang perbincangan secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, semalam.

Sementara itu,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup ketika me­ninjau Plaza Low Yat semalam berkata, insiden di lokasi itu pada 13 Julai lalu menunjukkan Akta Keharmonian Nasional itu relevan untuk mengekang isu-isu perkauman dan agama di Malaysia.

Insiden pergaduhan di plaza berkenaan tercetus selepas seorang lelaki berusia 22 tahun ditangkap oleh pekerja sebuah kedai menjual alat komunikasi kerana didakwa mencuri sebuah telefon bimbit berharga RM800.

Susulan insiden tersebut, percanggahan maklumat berbaur perkauman disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menerusi media sosial dan memviralkannya sehingga mencetuskan rusuhan.

Menurut Seng Kuan, Malaysia tidak boleh menikmati kestabilan sepertimana hari ini tanpa perpaduan serta keharmonian yang merupakan kunci kemajuan sesebuah negara.

Oleh itu, beliau sependapat dengan kenyataan Kurup yang menegaskan bahawa penggubalan rang undang-undang berkenaan tepat pada masanya bagi menangani isu-isu perkauman khususnya ekoran daripada insiden Plaza Low Yat yang dicetus akibat perbuatan lain sehingga membawa kepada bibit perkauman.

“Kita tidak mahu isu seperti ini dibenarkan berlaku lagi pada masa akan datang. Sikap menanam kebencian, keganasan dan ketaksuban tidak akan sesekali dibenarkan. Sehubungan itu rang undang-undang ini perlu untuk mengukuhkan perpaduan negara.”

“Perpaduan muncul dalam kalangan kita sendiri dan bukannya dari luar. Oleh itu, cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Keharmanonian Nasional merupakan sebahagian daripadanya,” ujar beliau lagi. – UtaraNews.com

ep2p-5small