Keindahan Kashmir Bagaikan Mimpi

SAM_1337

SAM_1392SAM_1318

Oleh Mona My

 JIKA anda pernah melancong keluar negara tentu ada sesuatu tempat seperti pemandangan yang sentiasa kekal di minda anda yang sukar dilupakan. Demikianlah juga ketika saya menjejakkan kaki ke Srinagar, Kashmir, permulaan musim sejuk akhir Oktober tahun lalu.

      Yang pertama mengembalikan nostalgia saya ialah tentang keindahan Tasik Dhal yang begitu popular dan kenangan indah ketika menonton filem Hindi di zaman remaja dulu berjudul Kashmir Ki Kali yang dibintangi oleh Shammi Kapoor dan Sharmilar Thagore.

       Memang keindahannya tidak pernah tercemar kecuali bertambahnya bilangan rumah bot (bot house)  yang begitu indah sekali memagari hampir sekeliling Tasik Dhal dengan pelbagai bentuk dan hiasan bagai menambah lagi warna-warna di tasik tersebut.

Tak cukup dengan keindahan itu, pandangan lebih mempesonakan dengan banyaknya jumlah sampan (shikara) pengangkutan air yang dikayuh, untuk ke rumah bot dengan pelbagai warna dan corak. Tinggal di rumah bot bukan sahaja menambah kenangan dalam memori hidup saya malah amat sukar dilupakan.

SAM_1346

Namun bermalam di rumah bot pada musim sejuk memang sejuk kejang jika tidak disediakan bag-bag air panas dan peralatan pemanas badan oleh tuan rumah bot. Bercakap tentang makanan anda tak perlu bimbang ini negara Islam, semua halal, tetapi masalahnya jika setiap hari anda dihidangkan masakan kari dan kambing jemu juga.

Pemandangan  di sekitar Tasik Dhal nyaman, indah dan cukup menyeronokkan,   berbeza tinggal di hotel. Keistimewaannya anda tidak perlu keluar ke pekan membeli-belah kerana setiap hari para pedagang akan datang menjual pelbagai barangan yang mungkin menarik hati anda. Mereka mungkin dibenarkan masuk ke rumah bot atau anda boleh beli dari bot-bot yang datang berjaja di pinggir rumah bot yang anda diami.

Jual mereka mengikut musim, oleh kerana kami berada di Srinagar pada musim sejuk, maka pelbagai jenis pakaian sejuk dijual, baik untuk lelaki ataupun wanita, untuk yang kurus mahupun gendut semuanya ada. Kalau tak suka warna hitam atau sais tak sesuai petang atau malam nanti mereka akan datang membawa apa yang anda pesan mengikut selera anda.

Tentang harga, jangan cepat beli, tawar semurah mungkin. Jangan bimbang kalau anda terlepas peluang, di merata kedai di pinggir Tasik Dhal ada dijual. Bukan sahaja, pakaian, sarong tangan, sarung kepala, barang perhiasan wanita, beg tangan, semua ada dijual. Apa anda perlu buat, duduk bersandar dan tunjuk sahaja apa yang anda mahu. Mereka akan datang mempamerkan pelbagai jenis barangan yang anda perlukan.

Namun bukan semua pelancong suka diganggu dengan pedagang-pedagang yang datang memburu anda setiap hari. Ada yang memilih bersantai di dalam bilik untuk mengelakkan dari bersua muka dengan pedagang- pedagang ini.         

Namun perasaan jemu anda akan segera terubat apabila melawat ke taman bunga yang cantik dan popular peninggalan pemerintahan kerajaan Mughal iaitu Mughal Garden Nishat Bagh. Yang dibina oleh Asif Khan adik kepada Maharaja Jehangir pada tahun 1632.

Keistimewaan taman ini ia bukan sahaja luas, bahkan ia dibuat bertingkat-tingkat, ada 7 tingkat memanjang kebelakang, sementara belakangnya terletak banjaran gunung Zabarwan sementara bahagian hadapanya mengadap Tasik Dhal. Dan setiap tingkat bunga yang ditanam dalam pelbagai warna dan taman ini akan berubah warna mengikut musim dengan warna bunganya juga mengikut musim 4 musim.

Demikian juga cantiknya taman Abode of Love yang terletak berdekatan di Shalimar Bagh yang dibina oleh Maharaja Jehangir khas untuk isteri tercinta Maharani Noor Jehan. Sejam berada di kedua-dua taman ini membuat anda tenggelam dengan keindahan bunga dan air terjun yang dibina khas dari air Tasik Dhal yang disedut ke kaki gunung dan terus kembali mengalir ke Tasik Dhal. 

Selama malam hari berada di Srinagar pemandu pelancong kami bernama Asyek mempelawa kami berkunjung ke rumah keluarganya. Layanan dan budi bahasa mereka memang baik dan sungguh menyanjung tetamu.

Dari mereka kami diberitahu, mereka menghantar anak-anak ke sekolah berbayar bukan sekolah kerajaan, kerana mereka mementingkan pelajaran, dan mereka mahukan anak-anak belajar menguasai bahasa Inggeris, kerana bahasa Inggeris bahasa antara bangsa, dan bahasa untuk orang yang mahu maju. Dunia hari ini berbeza dengan zaman dahulu kebijaksanaan dan ilmu boleh mengalahkan kekuatan tenaga dan senjata.   

Berkunjung ke Srinagar rasanya tidak lengkap jika tidak mengunjungi puncak Gulmarg yang berada di ketinggaian 2730 meter dari paras laut. Perjalanan sejauh 65km ke puncaknya memang tidak jauh tetapi ia terpaksa mengambil masa lebih 2 jam kerana keadaan jalan yang berlubang, licin dan kurang memuaskan.

Seperkara lagi jika anda berpeluang memandu ke Srinagar mahupun ke India anda mesti jaga 3 perkara penting, iaitu `good hon, good break and good luck’. Kerana di mana-mana anda mendengar bungi hon yang bising, kereta memotong sesuka hati di jalan sempit, dan jalan berlubang, tetapi jika ada 3 perkara penting itu anda akan selamat.

Kerana macam mana sibuk sekalipun bandar Srinagar dan New Delhi, jarang sekali kami melihat kereta berlangar, walaupun sesak mereka sentiasa memberi laluan kepada kereta lain berlepas tanpa rasa dendam untuk memotong balik.   

Namun berbeza di negara kita walaupun jalanrayanya terjaga baik, tetapi kita melihat kematian akibat pelanggaran berlaku hampir setiap hari. Adakah ini kerana pemandu kita tidak sabar, berdendam dan tidak ada tata tertip di jalanraya?   

Dalam perjalanan ke Gulmarg pemandu pelancong memberi kesempatan kepada kami untuk singgah melawat dan bergambar dengan pokok buah epal. Katanya kebanyakan  pelancong dari Malaysia sentiasa memintanya membawa melihat pokok buah-buahan. Oleh kerana ketika itu apel bermusim, maka kami berpeluang bergambar merakam kenangan.

 Maklum di Malaysia belum ada pokok apel. Pokok anggor dah banyak ditanam. Tak percaya pergilah ke Perlis atau ke Sendayan Valley di Sendayang, Negeri Sembilan, tentu anda akan kagum dengan keindahan pokoknya.  

Gulmarg juga terkenal sebagai destinasi antara terbaik untuk meluncur salji, selain mempunyai padang golf 18 lubang yang tetinggi di dunia. Kami juga berkesempatan menaiki kereta kabel untuk ke puncak yang dipenuhi salji.

Kepada pelancong yang teringin melihat ke kawasan sekitar puncak Gulmarg yang penuh salji perkhidmatan kuda disediakan. Peluang ini tidak dilepaskan oleh rakan serombongan yang ingin meredah kawasan hutan salji sambil berkuda.  Seronok kata mereka.

            Menuruni Gulmarg dengan bas dengan jalan yang kurang memuaskan serta licin kerana lelehan salji memang menggerunkan. Namun kebimbangan ini hilang dengan pemandangan yang indah di sekitar terutama di lurahnya. Terdapat juga ramai gembala kambing berjalan bersama ratusan kambing biri-biri yang besar di kawasan cerun bukit.

            Kepada yang gemar membeli belah, anda tidak akan bosan, sediakan sahaja wang rupie, kad kredit namun RM Malaysia pun diterima, kerana di sini pelbagai jenis barangan dijual, dari karpet, kain sari, jubah wanita, kusyen bersulam manik, kasut, baju sejuk, beg tangan bersulam, hiasan berukir dan macam-macam lagi pasti menggamit selera anda.

Namun seperkara yang agak memeningkan kepala ketika ingin ke lapangan terbang sebelum meneruskan perjalanan pulang anda terpaksa melalui pemeriksaan amat ketat bukan sahaja badan anda terpaksa melalui 6 kali pemeriksaan sebelum menaiki kapalterbang, keenderaan anda dan baggasi anda juga terpaksa melalui pemeriksaan yang sama dan setiap bag akan dilekatkan penanda khas walaupun beg tangan dan beg plastik yang anda pegang. Begitulah keras dan ketatnya pemeriksaan untuk keluar dari Kashmir.

Kepada anda yang meminati Srinagar dan keindahannya jangan lupa masukkan Kashmir dalam agenda tempat yang bakal anda kunjungi sementara negara ini masih aman untuk dikunjungi. Doa kami supaya negara ini tidak bergelora lagi demi rakyatnya yang mahukan kedamaian untuk meneruskan hidup yang lebih selesa.

SAM_1381

 

ep2p-5small