Jangan jadi tukang provoke perkauman di media sosial..

Penyebaran isu perkauman menerusi media sosial oleh orang ramai akan menggugat perpaduan dalam kalangan rakat berbilang kaum di negara ini.

Penyelaras gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menolak keganasan, Kamarudin Ahmad menegaskan, ini kerana, masih terdapat individu yang menjadi ‘ejen’ provokasi bertindak mengeluarkan kenyataan mengapi-apikan sentimen perkauman dalam media sosial khususnya mengenai kejadian pergaduhan di Plaza Low Yat, baru-baru ini.

“Kami menolak sekeras-kerasnya insiden yang berlaku itu berpunca daripada isu perkauman sebaliknya merupakan perbuatan beberapa individu tidak bertanggungjawab dan kemudian maklumat salah yang disebarkan melalui media sosial memperlihatkan ia seperti isu perkauman.”

“Justeru, kita meminta masyarakat tidak menjadi ejen provokasi yang bagaikan bertindak mencurah minyak ke api dengan niat membangkitkan kemarahan dalam kalangan rakyat kita menggunakan isu perkauman,” katanya dalam sidang akhbar di Plaza Low Yat, Bukit Bintang di Kuala Lumpur, semalam.

Antara NGO yang terlibat dalam deklarasi menolak keganasan dan menegakkan keluhuran undang-undang itu ialah Gabungan NGO 1Malaysia (NGO1M), Pertubuhan Jaringan Rakyat Malaysia, Persatuan Sivik India Malaysia, Yayasan Pembangunan Ibu Tunggal, Persatuan Penduduk Pandan Perdana, Persatuan Penduduk Ampang Putra dan Barisan Nambikkai Malaysia.

Kamarudin menjelaskan, keamanan dan perpaduan yang dikecapi selama ini sejak merdeka lagi perlu dihargai oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini sekali gus tidak mensia-siakannya akibat perbuatan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Jangan buat keputusan mengikut khabar angin yang tersebar melalui media sosial, jangan benarkan emosi menjadi hakim bagi sesuatu kejadian itu,” ujarnya.

Bagi Presiden NGO1M, Mohammad Nazlee Aziz Yeop, beliau menggesa ahli politik supaya tidak mengambil kesempatan dengan memainkan sentimen perkauman demi kepentingan peribadi semata-mata.

“Saya ingin tegaskan, ahli politik juga jangan cuba membangkitkan isu perkauman semata-mata untuk meraih sokongan demi kepentingan peribadi mahupun politik.”

“Orang ramai pula jangan mudah terpengaruh dengan berita yang disebarkan sebaliknya sentiasa mengingatkan diri bahawa keamanan, perpaduan, pembangunan, kesejahteraan tidak mudah dikecapi tanpa persefahaman yang kuat dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, Plaza Low Yat telah digemparkan dengan situasi tegang susulan video sekumpulan pemuda bergaduh dan merusuh di plaza berkenaan menjadi viral di laman media sosial. – UtaraNews.com

ep2p-5small