Isu #lowyat : MCA mahu rakyat Malaysia hentikan sentimen perkauman.

Ekoran insiden pergaduhan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur baru-baru ini, semua media sosial digesa supaya tidak membuat sebarang spekulasi ber­kenaan kes  bagi mengelakkan perpecahan dalam masyarakat.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mengenai isu tersebut, pihak berkuasa digesa untuk bertindak tegas terhadap golongan yang terbabit dalam penyebaran khabar angin sehingga mengeruhkan kea­daan.

Menurutnya, perkara itu bukan sahaja boleh menggugat keharmonian negara malah turut mencalarkan imej negara di mata masyarakat dunia.

“Saya berada di China ketika isu itu tercetus dan pada masa itu, khabar-khabar angin dan spekulasi disebarkan oleh pelbagai media sosial mengatakan ada konflik kaum di negara kita sedangkan ia tidak benar.”

“Jika isu perkauman sebegini terus dimainkan oleh media-media sosial, masyarakat luar akan terus sahaja membuat spekulasi bahawa Malaysia tidak lagi harmoni sekali gus menjejaskan iklim pelaburan serta pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.

Plaza Low Yat pada 12 Julai lalu digemparkan dengan insiden pergaduhan di antara dua kumpulan pemuda dengan seorang remaja yang didakwa mencuri telefon bimbit daripada premis berkenaan.

Jelas Tiong Lai, MCA akan mengadakan perjumpaan dan sesi dialog bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam masa terdekat berhubung siasatan kes pergaduhan di Plaza Low Yat itu.

“Isu ini perlu diambil berat, dan ditangani dengan cepat, adil dan saksama. Kerajaan juga perlu memastikan perkara sebegini tidak berlaku lagi,” katanya.

Sebuah kedai menjual telefon jenama Oppo di Plaza Low Yat mengalami kerosakan teruk akibat diserang oleh sekumpulan lelaki Melayu yang dilaporkan bertindak sedemikian bagi membalas dendam.

Difahamkan, insiden pergaduhan itu berpunca daripada tidak puas hati seorang lelaki Melayu yang telah ditahan oleh pengawal keselamatan bangunan berkenaan kerana didakwa telah mencuri telefon bimbit di kedai itu. – UtaraNews.com

ep2p-5small