Husam Musa muka tak malu jual nama Arwah Tuan Guru Nik Aziz.

Ketua Pemuda Pas, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz memberi amaran kepada bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa agar berhenti menggunakan nama Arwah ayahnya, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai alasan untuk menubuhkan parti baharu.

Nik Abduh berkata, apa yang dikatakan oleh Husam adalah satu penipuan kerana pemimpin dah ahli Pas tahu amanat yang ditinggalkan oleh Allahyarham kepada ahlinya.

Oleh itu, pemimpin Pas yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) diharap berhenti terus menjual nama Nik Aziz untuk kepentingan parti baru itu sendiri.

“Ahli Pas tahu mereka sedang bercakap bohong, jumpa Tuan Guru di lubang kubur nanti,” tegas Nik Abduh. 

Selain itu, bekas setiausaha akhbar Nik Aziz, Ahmad Fadhli Shaari turut memberi amaran kepada pemimpin GHB agar tidak menggunakan nama bekas menteri Kelantan itu.

Fadhli berkata, beliau kesal dengan sikap pemimpin GHB  yang memetik nama Nik Aziz untuk menguatkan lagi alasan penubuhan parti baharu itu.

Tambahnya, dengan tindakan pemimpin tersebut yang memetik nama Allahyarham dapat menghancurkan parti Islam itu sendiri.

“Pada saya tidak wajar menggunakan nama tokoh yang meninggal dunia untuk menyokong pendirian kita, apatah lagi pendirian tersebut bagi menghancurkan parti itu sendiri,” kata Fadhli.

Datuk Husam Musa pada Ahad lalu, menyifatkan penubuhan GHB oleh bekas pemimpin Pas yang tewas pada pemilihan awal Jun lalu selari dengan pegangan Allahyarham Nik Aziz.

Husam berkata, Nik Aziz sebelum ini berharap agar agenda Islah bernegara dan berkerajaan diteruskan dengan keyakinan kerajaan sedia ada perlu dan wajib digantikan secara total dengan pasukan baru.

“Pasukan baru itu haruslah mempunyai komitmen tinggi, idealisma murni, cita-cita politik luhur dan azam membawa perubahan bagi rahmat untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Perubahan itu bagi mengakhiri segala keangkuhan kuasa, penidasan dan beban ke atas rakyat jelata hasil salah guna kuasa dan hilangnya pedoman dan segala macam kemungkaran politik, ekonomi dan agama.

“Sekalipun saya adalah pemimpin kecil Pas, saya melihat telur GHB ini perlu disantuni untuk membawa kebaikan kepada perjuangan bersama kita tekuni sejak sekian lama, kecuali kuasa yang dulu dianggap taghut (melampaui batas) sudah di harap menjadi kawan,” kata Husam dalam satu kenyataan.-Utaranews.com-

ep2p-5small