Hina Pakaian Iban: Teressa Kok terus kena kritik oleh pengguna media sosial.

Sebuah portal berita melaporkan, pengguna media sosial berterusan mengkritik Ahli Parlimen Seputeh daripada DAP, Te­resa Kok Suh Sim kerana mengaitkan pakaian tradisi lelaki Iban untuk menyindir kod etika pemakaian di jabatan kerajaan.

Malah, boleh dikatakan kebanyakan pengguna di alam siber melahirkan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Teresa itu sedangkan orang Iban tidak menggunakan pakaian berkenaan untuk aktiviti seharian dan urusan pejabat, sebaliknya dikhususkan untuk perayaan atau upacara tertentu sahaja.

Semalam, Teresa menerusi laman sosial Facebook miliknya memuat naik gambarnya bersama-sama enam lelaki berpakaian tradisi Iban di Gereja Divine Mercy di Shah Alam sempena sambutan Gawai dan Kaamatan dan pada masa sama menyatakan rasa tertarik terhadap pakaian yang disifatkannya ‘setengah bogel’ atau ‘tidak tutup aurat’.

“Pakaian tradisi Iban ini memang akan dilarang masuk pejabat kerajaan dengan kod pakaian perkhidmatan kerajaan sekarang. Pakaian dan kostum sebegini memang telah menjadi sebahagian daripada budaya yang beraneka corak di Malaysia.”

“Inilah kostum dan budaya yang harus dipelihara kerana telah menjadi ciri dan tarikan pelancongan di Malaysia,” katanya dalam keterangan bersama gambar berkenaan di laman Facebook miliknya semalam.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak mendapat ‘respons’ yang diharapkannya apabila ribuan kritikan dilontarkan termasuk daripada pengguna Facebook bernama ‘Alwi Adam EzazWealth’ yang berpendapat kenyataan Teresa itu langsung tidak tepat dan menggores sensitiviti masyarakat Iban.

“Nampak sangat tidak kenal orang Sarawak. Orang Iban sudah tidak pakai pakaian macam ni untuk aktiviti seharian. Ini pakaian tradisi. Teresa ingat orang Iban mundur sangat ke? Dah majulah,” katanya dalam ulasan yang mendapat 2,291 ‘like’.

Selain itu, seorang pengguna Facebook, AgguNesu ReHa AgnesLeha berkata, mereka tidak mengenakan pakaian tradisi Iban untuk berurusan di pejabat.

“Orang Iban juga tahu mengenai peraturan dan kod pemakaian bersesuaian untuk pergi ke sesuatu tempat, bukan hanya memakai Sirat (pakaian tradisi lelaki Iban) sahaja. Ingat orang Iban tidak tahu guna baju ke,” katanya.

Manakala, bagi seorang lagi pengguna Facebook, Pavl Alan Morison pula berkata, mudah, pakaian itu adalah pakaian tradisional orang Iban.

“Kita hanya pakai waktu perayaan atau upacara tertentu. Berhenti mengarut,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Firdaus Abdullah yang turut memberi ulasan dalam laman Facebook itu turut berkata, Teresa sepatutnya menjadi seorang ahli politik yang matang.

“Tolonglah jadi wakil rakyat yang betul-betul membantu negara. Bukannya jadi ahli politik yang cuba memporak-perandakan keharmonian masyarakat,” katanya. – UtaraNews.com

ep2p-2