Haram Gaji Dan Elaun Wakil Rakyat PAS Yang Sokong GHB

Kuala Lumpur – Haram gaji dan elaun wakil rakyat PAS yang mendokong perjuangan Gerakan Harapan Baru (GHB), kata Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

 

Ini berikutan keistimewaan yang mereka nikmati itu diperolehi selepas memenangi pilihan raya, atas tiket PAS.

 

Haron juga mengingatkan kesemua mereka mengenai lafaz bai’ah yang dilafaz sewaktu menerima perlantikan sebagai wakil rakyat PAS.

 

“Saya menasihatkan pihak yang berbai’ah supaya merenung sedalam-dalamnya kehendak bai’ah itu kerana mereka berbai’ah dengan Allah.

 

“Jika berlaku khianat, mereka khianat dengan Allah. Lebih-lebih lagi dalam bai’ah yang menyebut soal elaun dan gaji kerana ia haram dimakan jika berlaku pelanggaran baiah,” katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian, hari ini.

 

Semalam, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yaakob mengesahkan kewujudan akuan bersumpah bai’ah talak 3 yang perlu dilafazkan setiap wakil rakyat Kelantan sekiranya menyertai parti lain.

 

Katanya, akuan bersumpah itu diguna pakai sejak 2004 lagi kepada mana-mana wakil rakyat Kelantan jika mahu meninggalkan parti Islam tersebut.

 

“Ba’iah itu memang betul. Seperti dinyatakan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan Datuk Daud Muhammad. Perkara ini bukan main-main,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

 

Daud sebelum ini berkata, mana-mana individu yang melafazkan dan melanggar sumpah dengan menyertai parti lain, maka perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana lafaz talak yang diikrarkan itu adalah sah.