GHB Pimpinan Mat Sabu Mahu Ambil Alih Parti KITA, Jadi Alternatif PAS

Gerakan Harapan Baru (GHB) menyasarkan untuk mengambil alih parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) dan melancarkan ia semula pada Hari Merdeka sebagai alternatif kepada PAS.

 

Satu sumber memberitahu The Malaysian Insider, jawatankuasa protem GHB mempertimbangkan dua pendekatan ke arah menjadi sebuah parti politik – mendaftar sebuah parti baharu dan mengambil alih parti yang sedia ada.

 

“Kami menjalankan kedua-dua pendekatan pada masa yang sama dan nampaknya cara kedua adalah pilihan terbaik yang sudah menampakkan hasil,” katanya merujuk kepada pengambilalihan semula Kita.

 

Menurut sumber, terdapat dua parti tidak aktif dikenal pasti GHB yang boleh diambil alih: Kita yang dimiliki Datuk Zaid Ibrahim dan Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) di bawah bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil.

 
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Ikatan Datuk Seri Dr Mustapa Kamal Maulut berkata partinya tidak sesuai untuk GHB, yang didorong oleh agenda Islam.

 

“Ikatan merupakan parti yang terlalu nasionalis untuk diambil alih GHB,” kata Mustapa Kamal.

 

Bagaimanapun, Zaid ketika dihubungi berkata, pihaknya bersedia bekerjasama jika GHB bersetuju.

 

“Saya rasa tidak ada masalah,” kata Zaid kepada The Malaysian Insider, menggambarkan kesediaannya bekerjasama dengan GHB, kumpulan progresif digulingkan dalam pemilihan PAS baru-baru ini, bagi menubuhkan parti baharu.

 

Zaid juga bercakap di Dewan Perhimpunan Cina Kelantan apabila GHB melancarkan road show pertama di Kota Baru pada Ahad lalu.

 

Langkah GHB mengambil alih sebuah parti politik adalah sama dengan pendekatan diguna Parti Keadilan Nasional yang mengambil alih Ikatan Masyarakat Islam Malaysia pada April 1999 dan akhirnya berkembang menjadi PKR selepas Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat bergabung.

 

Pemimpin GHB merasakan ia akan menjadi satu pendekatan yang praktikal kerana menjangka berhadapan tugas sukar untuk mendaftarkan sebuah parti baharu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

 

Sementara itu, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), yang diharapkan PAS menjadi jambatan untuk menjalin hubungan dengan bukan Islam, kini roboh satu persatu apabila pemimpinnya juga menyertai GHB.

 

Di Perak, hampir semua jawatankuasa peringkat negeri mengisytiharkan sokongan terhadap GHB.

 

Perkara yang sama dijangka berlaku dengan DHPP Kedah.

 

“Saya sudah berbincang dengan mereka dan hampir semua akan bersama kita,” kata Penyelaras GHB Kedah Dr Ismail Salleh, bekas exco kerajaan negeri dan bekas pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kedah, badan yang menguruskan DHPP.

 

Dua hari lalu, DHPP mengisytiharkan sokongan mereka kepada GHB dalam majlis dialog dengan pimpinan pusat gerakan itu di Ipoh. – M.Insider