Gaduh Plaza Low Yat, KPDNKK Mulakan Siasatan Isu Telefon Klon

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur akan memulakan siasatan berhubung dakwaan kononnya satu insiden pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat pada malam Sabtu berpunca akibat penipuan oleh peniaga.

 

Bagaimanapun, Pengarahnya, Muez Abdul Aziz berkata pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada suspek yang kini ditahan polis.

 

“Kami akan berkerjasama dengan polis di mana siasatan akan dimulakan sejurus laporan rasmi dibuat pengguna tersebut.

 

“KPDNKK juga akan bekerjasama dengan pemilik hak cipta yang juga pengeluar telefon bimbit berkenaan untuk mengenalpasti sama ada telefon bimbit itu asli atau tiruan,” ujar Muez ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

 

Muez turut mengakui ada menerima laporan berkenaan dakwaan penipuan jual beli telefon bimbit serta gajet di Plaza Low Yat.

 

“Pihak saya ada terima laporan berkenaan penipuan jual beli. Pihak kami telah memulakan risikan dan pemantauan di sana (Plaza Low Yat),” katanya.

 

Selain itu, Muez turut menasihati pengguna supaya tidak bertindak mengikut emosi sekiranya mensyaki wujud unsur penipuan oleh peniaga.

 

“Kita ada peruntukan undang-undang… lapor terus kepada KPDNKK dan kami akan mulakan siasatan berdasarkan laporan yang diterima. Jangan bertindak ikut emosi,” kata Muez yang turut mengesahkan kes tersebut akan disiasat di bawah peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011.

 

Dalam kejadian itu, sekumpulan tujuh lelaki dikatakan mengamuk di Plaza Low Yat selepas seorang rakan mereka dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.

 

Dalam kejadian yang berlaku jam 7.50 malam itu, beberapa pekerja kedai telefon di plaza berkenaan dibelasah oleh kumpulan tersebut. Mereka turut merosakkan peralatan dan barangan di dalam kedai.

 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad memberitahu pihak polis telah menahan salah seorang daripada tujuh lelaki terbabit yang mendakwa kononnya ditipu peniaga. – Awani

ep2p-5small